Sabtu, 24 Ogos 2013

Perjalananku Menuju Atheisme. PART 3.

Kehidupan di UIA agak tenang. Di sini senior-senior lebih suka membuat hal sendiri dari menganggu para junior. Kami bebas memilih aktiviti yang kami mahu tanpa paksaan. Aku memilih untuk menyertai sebuah persatuan silat. Setidak-tidaknya ada juga aktiviti senaman semasa belajar di situ.

Setiap hari aku bangun sebelum azan subuh bagi mengikut solat Subuh berjamaah. Selepas solat aku mengulang-kaji nota-nota pelajaran sebelumnya. Mula-mula tersenguk-senguk juga lantaran mengantuk. Namun setelah menjadi rutin, ia perkara biasa.


Suasana sosial di UIA agak unik kerana di situ bertembungnya pelbagai bangsa, etnik, mazhab, bahasa, latar-belakang dan pemikiran. Malah ada juga beberapa non-muslim yang dibenarkan menuntut di sini. Yang lucunya, mereka yang beraliran Syiah pula dilarang sama-sekali (namun ada juga yang dapat masuk dengan cara berlakon menjadi ahli Sunni).

Kelas yang aku paling minati adalah kelas fekah (hukum-hakam amali) dan Usul Feqah (kaedah bagaimana fekah dirumuskan). Aku selalu membandingkan antara 4 mazhab feqah. Kisah hidup Imam Malik, Syafie, Hambali & Hanafi menarik minatku.

Dalam kelas usul fekah, barulah ku tahu ada berpuluh-puluh mazhab yang disenaraikan oleh ulama. Namun setelah masa berlalu, hanya 4 mazhab besar sahaja yang tinggal. Mazhab lain samada hilang ditelan masa, atau hanya diamalkan oleh minoriti terpencil, ataupun bergabung dengan salah satu mazhab besar.

Pernah aku tanyakan kepada pensyarah fekah yang berasal dari Iraq, kenapa ada banyak mazahib sedangkan nabi itu satu? Dia menjelaskan bahawa perbedaan mereka hanya pada perkara ranting bukan perkara pokok seperti akidah. Memang al-Quran itu satu dan nabi itu satu, tapi penafsirannya adalah pelbagai. Dengan berpegang pada 4 pendapat besar, kita dapat memudahkan urusan pemberian hukum dan pengeluaran fatwa. Pensyarahku segera memberi satu dalil dari hadis:
"Perselisihan dalam umatku adalah rahmat."
Aku hanya mengangguk tetapi masih tidak berpuas hati. Jika ada 4 mazhab, yang mana satu yang sebenarnya betul-betul datang dari nabi? Tak kan semua betul! 

Sebagai contoh lelaki bersentuh kulit perempuan ajnabi (yang halal dinikahi) membatalkan wudu' dalam mazhab Syafie manakala dalam mazhab Hanafi tidak membatalkan wudu'. Ia sememangnya perkara kecil tetapi persoalannya mana satu yang nabi buat?

Secara logik, jika satu mazhab kata  'A adalah B' dan satu lagi mazhab mengatakan 'A bukan B", bukankah itu kekeliruan yang amat jelas?

Memang lecturer-lecturerku telah menjelaskan tentang perbedaan dalam pemahaman lafaz nas, perbedaan dalam masalah hadis, dalam penggunaan kaedah lughawiyah (bahasa) nas, dalam mentarjihkan dalil-dalil yang berlawanan, perbezaan dalam qiyas, dalam penggunaan dalil-dalil hukum dan illat hukum serta pelbagai lagi menjadi penyumbang berbezanya pendapat para Imam.

Walau penerangannya panjang, namun fakta tetap fakta. Yang mana satu benar-benar datang dari nabi? Tak mungkin hukum 'A adalah B' dan 'A bukan B' datang dari sumber yang sama.

Maka aku mula mengkaji 4 mazhab dan kekuatan dalil-dalil mereka. Aku fokuskan kepada hukum-hakam solat, puasa, dan ibadat-ibadat yang berkaitan dengan kehidupan aku sebagai pelajar. Aku tidak mengambil perhatian kepada fekah muamalat (jual-beli), munakahat (pernikahan), siyasah (politik) dan berkaitan dengannya. Aku perlu tetapkan priority demikian kerana hendak mengkaji dalil dalam solat pun mengambil masa yang panjang dan rujukan berjela-jela. Apatah lagi jika mengkaji soal-soal muamalat dan lain-lain.

Setiap kali aku membuat kesimpulan, aku akan jumpa beberapa pensyarah fekah dan bentangkan kepada mereka. Ada yang menerima dan ada pula yang menolak. Nampaknya antara pensyarah pun boleh ada perbezaan pendapat.

Aku mendapat A+ dalam usul fekah dan A- dalam fekah yang melonjakkan CGPA semester tersebut ketahap tertinggi.


Semester seterusnya aku mengambil kelas Ulum al-Quran (kajian al-Quran) dan Ulum al-Hadis. (kajian Sunnah). Aku masih lagi obses mengkaji dalil-dalil mazhab. Tetapi kali ini aku sudah ada advantage kerana kedua-dua kelas ini mampu membawa aku kepada cara kehidupan nabi yang sebenar-benarnya. Bukankah nabi mengatakan: 
"Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah,"
Semakin lama mendalami kitab suci dan sunnah, semakin kurang minatku dalam fekah. Al-Quran adalah dalil yang tak boleh dipertikaikan kaum Muslimin, dan sunnah pula memperjelaskan lagi hukum hakam agama.

Dalam pengajian Ulumul Hadis, aku mendalami pelbagai jenis hadis dan kekuatannya dalam membuat dalil. Amat mengejutkan banyak hadis yang digunakan kita (orang Melayu) adalah bertaraf dhaif, lemah dan  palsu.

Sebagai contoh hadis yang terkenal "Kebersihan itu separuh daripada iman." adalah hadis Dhoif Jiddan (tersangat lemah).

Kemudian hadis yang sering digunakan oleh ahli Fekah bagi menerangkan perbezaan pendapat: "Perselisihan dalam umatku adalah rahmat." dan “Para sahabat aku adalah seperti bintang-bintang, barangsiapa dari kamu mengikut mereka, mereka akan diberikan petunjuk.” Ini adalah hadis berstatus Maudhu' dan tidak boleh digunakan dalam hujah.

Pengajian al-Quran dan Sunnah ini membuatkan aku menilai semula dalil-dalil fekah yang telah aku senaraikan. Mana-mana dalil Fekah yang bercanggah, aku akan pilih dalil yang menggunakan hadis paling kuat. Maka dari situ aku mula establish amalan agama yang aku konfirm dari nabi dan amalan yang boleh diragukan asal usulnya.

Pada masa ini aku tidak lagi bertaklid pada satu mazhab sahaja. Aku bertanya hal ini kepada pensyarah-pensyarahku dan rupanya kebanyakkan mereka juga tidak terkurung dalam satu mazhab. Alasan mereka jika kita dah tahu sesuatu amalan tu ada dalil sahih datang dari nabi, kenapa kita kena ikut amalan mazhab yang dalilnya lemah.

Dari situ baru aku tahu wujudnya kumpulan yang dipanggil salafi dan kumpulan yang dipanggil ahli fekah. Golongan salafi adalah golongan intelektual yang mengkaji 2 sumber sahaja iaitu al-Quran dan Sunnah. Manakala ahli Fekah adalah mereka yang pakar dalam hukum-hakam yang di establish oleh 4 mazhab.

Ahli fekah memandang serong kepada salafi dan golongan salafi memandang ahli fekah sebagai pencetus ramainya golongan taklid (ikut tanpa soal). Aku lebih selesa bersama golongan salafi kerana mereka bila berbicara tentang dalil, mereka terus petik dari Al-Quran atau hadis sahih. Sedangkan ahli fekah akan menyatakan bahawa pendapat imam Syafie 'begini begini', pendapat Imam Hanafi 'begitu begitu' dan seterusnya. Jika keadaan terdesak atau darurat, ahli fekah membenarkan kita menukar hukum mengikut mana-mana pendapat imam yang sesuai. Suatu konsep yang tidak boleh diterima akal.

Bersambung ke Part 4..

.

15 ulasan:

  1. menarik, teruskan menulis. btw, saya x bertaklid pada satu mazhab saja juga, contohnya, mazhab syafie menyatakan wajah perempuan itu aurat, bagi saya, keadaan di sini x memerlukan untuk setiap wanita pakai purdah. begitu juga dengan vending machine, ikutkan mazhab syafie, x sah sbb takde akad.
    kalau salafi, bnyak sangat yang bidaah. bidaah itu haram. so para sahabat nabi SAW yg melakukan bidaah, adakah mereka melakukan perkara yang haram juga.
    saya harap suatu hari nanti anda menulis menganai pandangan anda tentang aurat wanita. jika x keberatan :)

    BalasPadam
  2. Kisah masih panjang, popcorn pun tak habis lagi. Air Coke ada separuh lagi. Relax, enjoy the movie :)

    Aurat? Nak saya tulis pasal aurat? adik tolonglah jangan gurau camtu.. hehehe.. Tersedak kawan-kawan abang yg baca ni tau.

    BalasPadam
  3. Post anda membuatkan aku nak peluk islam la. Goodjob*****

    BalasPadam
  4. actually, ramai yang athiest saya kenal tutup aurat malah lebih sempurna dari orang yang mengaku muslim.
    sebagai contohla,andai seorang perempuan x berpakaian ditempat awam, melakukan perkara x senonoh ditempat awam, x kira gay atau lesbian atau straight, mana2 pegangan pun ada yang berbuat demikian, yang membezakan, mereka berpegang kepada moral, kalau muslim, berpegang kepada akhlak (cuz muslim percaya yang akhlak yang baik buah daripada ibadah yang sempurna)
    itu saya tahu, tapi kalau athiest tutup aurat (I meant, tutup rambut .etc) adakah untuk keselamatan mereka, apa pendapat anda?

    BalasPadam
  5. ok dik. Sebenarnya saya tak kenal mana2 atheist yang bertudung.

    Seperti yg sy katakan sebelum ini atheist adalah sekadar label. Sama seperti orang yang suka mengumpul setem kita panggil mereka 'pengumpul setem'. Itu sahaja. Sekadar label.

    Seorang pengumpul setem tak ambil tahu pun jika ada pengumpul setem lain yang suka pakai topi, atau ada yang suka pakai jaket.

    Mereka pun tak mahu ambil tahu mengapa dan tiada masa berhujah mengenai topi dan jaket.

    Seorang pengumpul setem hanya berminat mengumpul setem. Persamaan mereka hanya pada minat yg sama. Itu sahaja.

    Ok dik. Boleh faham kot :)

    BalasPadam
  6. amalan berhijab mmg ada dari zaman sebelum kedatangan Islam lg.

    BalasPadam
  7. Saya dahulu pernah juga bertudung walaupun sudah menjadi ateis...malah ada juga kenalan yang jadi ateis masih berhijab..satu sebabnya adalah masih tidak bersedia untuk membuka tudung setelah sekian lama memakainya dan masih merahsiakan ketidakpercayaan itu...bagi saya,itu pilihan individu samada mahu terus berhijab atau tidak walaupun sudah tidak percaya agama..sebab ianya boleh dianggap seperti budaya/tradisi/fesyen saja.mungkin mereka masih ingin menjaga hubungan baik dengan keluarga dan ianya tiada kaitan dengan ketidakpercayaan mereka..yang penting berhijab/tidak itu masih bersikap baik dan tidak mengganggu kehidupan orang lain...

    BalasPadam
  8. @yup Lynn.
    "yang penting berhijab/tidak itu masih bersikap baik dan tidak mengganggu kehidupan orang lain..."

    Absolutely correct. Saya sokong :)

    BalasPadam
  9. Seperti kata Lynn AG, ada yang bertudung kerana ingin menjaga hubungan baik dengan keluarga. Saya adalah antara mereka itu. Pada pendapat saya, kerana terdapat banyak double standard dalam Islam terhadap wanita, kebanyakan wanita born-muslim terpaksa hidup double-life, demi keluarga. Seorang atheist tidak semestinya menjadi seorang yang tak menghormati ibu-bapa.

    @Siti Sabariah Hashim
    Saya cadangkan cik untuk membaca buku dari Ayaan Hirsi Ali bertajuk Infidel, seorang wanita ex-muslim dari Somalia. Dia ada menulis tentang aurat, tudung, hukum perempuan bersunat dan hal-hal kehidupan membesar sebagai seorang muslim. Buku-buku beliau yang lain juga ada menyentuh dengan lebih mendalam lagi isu-isu wanita. Di MPH ada jual, dan kedai-kedai buku besar yang lain.

    Teman-teman gay saya yang masih memanggil diri mereka muslim juga terpaksa hidup double-life. Kongkongan-kongkongan ini banyak membantutkan minda, sepatutnya dah boleh fikir untuk selesaikan hal yang lebih penting dan humanis.

    -A.

    BalasPadam
  10. salam sejahtera. saya nak tanya -

    1. apa komen anda dengan beberapa perkara yang dianggap "petunjuk" seperti masjid tak hanyut dalam insiden tsunami di acheh?
    setiap kali ada "kekeliruan" dalam diri saya, saya akan berkata kepada diri bahawa saya tidak bijak dan kurang ilmu dan melihat kepada perkara bukan ilmiah seperti kes tsunami ni utk mengembalikan kepercayaan saya.

    2. mengapa tuan terus menyalahkan agama bila tuan sendiri yang gagal mencari jawapan sebenar? mengapa tak salahkan diri sendiri yang kurang ilmu? seperti hal bersentuh kulit itu, sebenarnya bagi saya tidak perlu diteliti pun. kerana ke 2 2 pendapat takkan mememuaskan antara satu sama lain. dan kalau nak sangat satu jawapan boleh jadi pertelingkahan. oleh kerana silaturahim tu lebih mahal dari siapa batal wuduk, maka diberikan kelonggaran didalm bermazhab. kan senang kalau fikir macamtu?

    BalasPadam
  11. @Taufiq
    1. Perkara macam tu pun boleh dipanggil petunjuk? hehe. Banyak perkara sebegitu berlaku seluruh dunia. Selalunya faktor alam semulajadi, namun ada pihak suka mensensasikan cerita. Contoh Salib tidak terbakar dalam kebakaran teruk di Southern California. Adakah maksudnya Christianity agama sebenar?

    2. Nampaknya anda tidak faham proses Hypothetical Syllogism atau logik deduktif dan induktif. Perkara kecil pun boleh menunjukkan fakta yg besar. Tapi malaslah saya nak cerita disini. Cari sendiri.

    Faham balik, diatas itu adalah kisah dulu/pengalaman/diari, bukan rujukan untuk anda ambil dan amal atau untuk dibahaskan.

    Sini bukan blog rujukan agama. harap sedar!

    BalasPadam
  12. Di Acheh tu semua bangunan sekeliling tu diperbuat daripada kayu-kayan je kot. Masjid tu satu2nya bangunan konkrit. So...?? Tak perlu hairan jika bangunan sekelilingnya musnah sbb x kukuh setanding masjid konkrit itu.

    BalasPadam
  13. masih menunggu part4 n seterusnya. :)

    BalasPadam
  14. Besok kot.. Risau plak nak keluar part baru sebab ada yg mula tanya pasal hukum hakam.. Cara nak solat jamak qasar pun ada yg tanya saya.. pelik..

    BalasPadam