Selasa, 20 Ogos 2013

Kebebasan Minda.


Terima kasih atas soalan Puan N. Biarlah saya jawab secara terbuka di sini. Setidak-tidaknya dapat satu entri baru dalam blog ini. Hehe

Erti kebebasan boleh diinterpretasi kepada jutaan definisi, mungkin sebanyak kepala-kepala manusia di dunia ini. Tafsirannya adalah relatif. Setiap orang mahukan kebebasan dari sesuatu yang mengongkong mereka. 

Ada remaja yang mahu bebas dari kongkongan ibubapa, ada penjenayah mahu bebas dari buruan polis, ada pekerja mahu bebas dari beban tugas kerjayanya, ada artis mahu bebas dari kontrak  syarikat rakamannya, ada jutawan mahu bebas dari tekanan jiwanya, ada yang fakir mahu bebas dari belitan hutangnya dan berjuta jenis kebebasan yang didambakan umat manusia.

Bila bercakap mengenai Kebebasan Yang Sebenar, ia bersifat sangat relatif. Tafsirannya boleh dibahaskan oleh golongan pemikir, ahli falsafah, dan cendekiawan agama (dari 3 agama samawi, Hindu, Jainism etc). Sudah pasti kesimpulan mereka berbeza antara satu sama lain.
 
Pada saya minda akan bebas secara mutlak apabila manusia itu mati. Namun pendapat saya ini pasti disanggah oleh mereka yang meyakini hari akhirat. Malah mungkin juga disanggah oleh penganut Buddha yang berpegang pada konsep nirvana yang boleh dicapai semasa kita hidup lagi. Dan akan disanggah juga oleh mereka yang percaya kepada aktiviti paranormal yang percaya minda manusia yang mati adakalanya menjadi entiti ghaib ataupun hantu-hantu yang berkeliaran.

Dari kecil minda kita telah dimasukkan dengan pelbagai input. Segala input ini membentuk pelbagai jenis pemikiran, idea, fahaman dan keyakinan yang kemudiannya menjadi perangkap minda. Minda yang terperangkap dalam satu jenis pemikiran/ideologi/fahaman/keyakinan berupaya untuk bebas jika ia mahu. 

Namun bebas dari satu perangkap pemikiran tidak bermaksud kita sudah bebas dari perangkap pemikiran yang lain. Sebagai contoh seorang itu TIDAK mempercayai wujudnya unicorn, tetapi dalam masa yang sama PERCAYA wujudnya Santa Clause. Bebas dari satu pemikiran, tapi terperangkap dalam pemikiran yang lain.

Kesimpulan:
  • Apa erti kebebasan? Ianya relatif. Bergantung kepada konteks. 
  • Bolehkah minda kita bebas? Boleh. Namun persoalannya dari apa? ideologi? trauma? impian? keinginan? ego?. Setiap satunya membawa kepada perbincangan tersendiri. 
  • Apakah kebebasan minda yang sebenar? Ianya relatif. Bergantung kepada kefahaman seseorang.
  • Minda boleh berhenti? Ya apabila empunya minda itu mati. Tapi jawapan itu masih relatif bergantung kepada fahaman masing-masing.


PS: 

Manusia adalah diantara species cemerlang dalam mengadaptasikan kehidupan mereka di atas bumi. Kehebatan ini datang dari kekuatan minda. Asalnya minda manusia hanya berfikir untuk kelangsungan hidup (surviving). Namun semakin lama semakin meningkat kualiti minda manusia berbanding spesis lain apabila mereka mula berfikir bagaimana untuk berkomunikasi lebih praktikal, bagaimana untuk bergerak lebih pantas, bagaimana untuk membina koloni yang kukuh, dan seterusnya.

Kemudian minda manusia membina tamadun, bahasa, budaya, agama, seni, falsafah, dan pelbagai ilmuan serta teknologi yang sentiasa meningkat mengikut masa. Amat menyedihkan jika kita membiarkan minda hebat ini terperangkap dalam sangkar agama yang telah reput dimakan usia.

Jesteru saya menulis mengenai kebebasan minda di dalam blog ini adalah berdasarkan itu. Moga insan yang kecil seperti saya dapat membuka sekurang-kurangnya sedikit ruang buat minda-minda yang masih terperangkap mencari jalan keluar. Inilah dia kebebasan yang saya perjuangkan.

.

1 ulasan:

  1. I love reading your insight on abstract matters such as this.. Very well thought of and very wise indeed.. I wish you the best in life.. :)

    BalasPadam