Selasa, 6 Ogos 2013

Perjalananku Menuju Atheisme. PART 1.


Namaku Wan Izzuddin, anak kelahiran negeri pantai timur. Aku dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh dengan agama Islam. Keluarga sebelah ayahku beraliran sufi manakala sebelah ibuku adalah pengikut ahli sunnah wa Jamaah.

Sejak kecil lagi aku telah berminat dengan ketuhanan. Persoalan-persoalan seperti siapa Allah & dimana Allah selalu bermain-main di kotak kecil fikiranku. Aku pernah bertanya kepada guru tadikaku dimana Allah itu berada. Guruku menjawab Allah itu ada dimana-mana.

"Seumpama angin, walau kita tidak dapat melihat angin, namun kita boleh merasakannya" ujar guruku. Berbeza apabila soalan yang sama kutuju kepada ibuku, dia menjawab Allah itu berada di langit.

Pernah suatu hari, sahabat-sahabat ayahku datang ke rumah. Mereka tahu yang aku berminat dengan perkara kerohanian. 

Salah seorang dari mereka bertanya, "Wan, Allah tu bagaimana ya?"

Aku menjawab dengan petah "Allah itu bagaikan pelukis, dan kita semua adalah lukisanNya". Sahabat-sahabat ayahku terus bertasbih dan bertakbir bagaikan terlalu gembira dengan jawapanku.

"Kamu anak yang istimewa" kata mereka kepadaku. Peristiwa ini diceritakan sendiri oleh ibuku setelah aku dewasa sedangkan aku sendiri tidak ingat.

Pada waktu malam bertemankan lampu gasoline, ayah akan bercerita tentang kisah nabi-nabi. Aku amat terhibur dengan kisah-kisah tersebut dan kadangkala terbawa ke dalam mimpi. Adik-adik lain lebih suka bermain-main sesama mereka dari duduk bersamaku dan ayahku.

Dari kecil aku suka bersendiri. Aku jarang bergaul dengan kanak-kanak seusiaku. Aku lebih suka duduk di bawah pohon sawit sambil berkhayal sendirian. Aku tidak berasa kesunyian kerana aku tahu Allah itu sentiasa berada disisiku.

Setahun sekali (selain hari raya), ayahku akan membawaku ke rumah datuk di Pahang. Aku masih ingat lagi begitu ramai orang berada di rumah besar itu. Rupanya malam itu ada perjumpaan tahunan yang dipanggil 'usrah'. Datukku selaku sheikh di situ akan meneraju majlis zikir dan sesi ceramah kesufian selepas usai solat Isyak.

Datuk akan memanggilku duduk di ribanya sambil dia memberi ceramah tentang ilmu hakikat dan makrifat kepada para hadirin. Aku yang kecil ini mengangguk-anggukkan kepala seolah-olah memahami butir-butir pertuturan datukku hingga mengundang senyuman dibibir para tetamu.

Bersambung ke Part 2..

.

Tiada ulasan: