Memaparkan catatan dengan label Makanan Minda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Makanan Minda. Papar semua catatan

Rabu, 30 Oktober 2013

Heaven & Hell.


PS: Buat renungan mereka yang mampu berfikir waras tanpa kecanduan agama sahaja.

.

Jumaat, 25 Oktober 2013

Cepatnya Terasa Hati.


Orang agama adalah golongan paling cepat terasa hati. Tidak perlu berbahas tentang ketuhanan atau keagamaan untuk membuatkan mereka panas hati. Sekadar berkata "Aku keluar dari Islam" pun sudah cukup untuk mereka mengelejat bagaikan ulat nangka.

"Aku tidak percaya al-Quran" kata seorang ex-Muslim. Orang Islam bangkit mengutuk dan memaki hamun.

"Aku tidak percaya kepada hari akhirat" kata seorang lagi ex-Muslim. Orang Islam bangkit dan memberi kutukan azab neraka.

"Aku tidak percaya kepada kenabian Muhammad" kata ex-Muslim lagi. Orang Islam bangkit dan mengamuk hingga hilang budi pekerti.

Apakah orang agama mampu mendengar kata-kata non-Muslim yang berlainan pendapat? Ya & Tidak. Ya, mereka mampu mendengar jika orang yang berlainan pendapat itu sememangnya non-Muslim sejak lahir. Tidak, mereka tidak mampu menghadapi pendapat dari ex-Muslim yang keluar dari agama.

Jika hanya berlainan pendapat tentang keyakinan pun sudah dimaki hamun, maka alang-alang biarlah aku menulis tentang masalah & kepincangan dalam agama ini. Sama juga akan dimaki hamun. Namun kali ini aku dimaki hamun bukan kerana siapa aku, tetapi kerana penulisan aku yang mengungkap rahsia hitam fahaman mereka.

Jangan salah faham, aku bukannya membahaskan peribadi mereka. Aku cuma mempersoalkan ideologi yang mereka yakini. Ah, tapi siapa yang peduli. Mereka tetap akan terasa hati. Nasrani menggunakan perkataan 'Allah' mereka terasa hati. Muslimah bergambar dengan anjing pun mereka tersinggung. Melihat wanita bertudung kebetulan seiras tudung seorang 'nun' pun mereka jadikan isu.

Dunia semakin berubah. Tiada ideologi yang kebal dari analisa dan kritikan manusia. Dengan kritikan dan pengupasan intelektual dapat mengelakkan dari terbentuknya pemikiran extremist & fanaticism mana-mana ideologi. Tidak seperti zaman dahulu yang menganggap ia satu taboo dan boleh dihukum. 

Namun kebanyakkan orang beragama tidak mampu menerima realiti perubahan ini. Lantaran itu kita melihat reaksi mereka cuba membukam dunia dengan merengek dijalanan, beraksi seolah-olah korban situasi, seolah-olah mangsa keadaan, kemudian membakar bendera. Adakah ia membawa perbezaan? Tidak. Adakah ia membawa kebaikan? Tidak. Adakah dunia berubah mengikut apa yang mereka mahukan? Tidak.

Cuma apa yang mereka capai hanya imej agama yang semakin buruk, tanggapan yang semakin negatif dan kebencian yang semakin meningkat.

.

Khamis, 17 Oktober 2013

Muslim Yang Membisu dan Realiti.


Kelihatan seperti apa ya?

Satu ritual suci dari tuhan yang penyayang?

Atau dari ritual zaman kuno yang dicipta oleh masyarakat primitif ribuan tahun dahulu?

Tidak. Aku tidak mengatakan menyembelih haiwan itu salah. Tetapi dengan cara dilakukan secara terbuka kononnya atas nama tuhan, dengan darah yang mengalir sebegitu, dan disaksikan oleh masyarakat termasuk kanak-kanak.? Cuba fikirkan dengan lebih mendalam kesannya.

Ya, bukan semua Muslim bersetuju dengan cara di atas. Namun fakta: ia masih berlaku dan sudah berlaku. Dan ia berlaku atas nama agama dan tuhan yang diyakini oleh Muslim seluruh dunia.

Sebahagian Muslim yang tidak bersetuju melihat haiwan korban disembelih secara terbuka seperti di atas, atau tidak bersetuju pengeboman jihadis berani mati, hukuman rejam, hukuman kepada mangsa rogol, penyembelihan orang kafir oleh kaum extremist, dan lain-lain hanya mampu membisu. Mereka tdak berani berdiri dan menghalang itu semua dari berlaku.

Maka jangan salahkan kami untuk bersuara menceritakan realiti. Jangan salahkan masyarakat dunia lantaran membenci. Fahamilah apa yang berlaku di dunia hari ini dan kemudian pandanglah pada diri sendiri. Renung-renungkan.

.

Selasa, 15 Oktober 2013

Realiti yang Memualkan.


Ini adalah realiti. Mereka datang ke negara orang mencari rezeki. Namun secara senyap ideologi gila mereka merebak bagaikan kanser. Melawan pihak berkuasa. Menghina kebebasan rakyatnya. Dan tanpa selindung memandang hina mereka yang tidak bersyahadah sebagai ahli neraka.

Ini adalah realiti. Kebodohan bermaharajalela atas nama agama. Yang moderate masih berdelusi. Yang radikal mula membuat angkara.

Ini adalah realiti..

Mual..

.

Angsa Yang Tumbuh Dari Pokok.


Video yang menarik mengenai keyakinan manusia zaman silam. Ia menceritakan secara ringkas bagaimana tercipta confirmation bias dan bagaimana mudahnya manusia terperangkap dalam bentuk pemikiran sebegini. Cara untuk kita untuk mengelakkan diri dari terperangkap dalam confirmation bias adalah dengan sentiasa mempersoalkan keyakinan kita dan sentiasa terbuka kepada penemuan serta bukti-bukti yang lebih kuat.

PS: Confirmation Bias bermaksud minda kita mencari dan mempercayai apa sahaja idea/bukti/kenyataan yang menyokong keyakinan (belief) kita dan tidak mempedulikan idea/bukti/kenyataan yang tidak menyokong keyakinan kita. Ini boleh berlaku dalam keadaan sedar atau bawah sedar.

.

Isnin, 14 Oktober 2013

Selamat Hari Raya Korban!

Riuh rendah orang-orang desa. Kambing dan lembu ditambat kukuh pada batang pokok kelapa. Temasya biasa setiap kali menyambut raya korban. Sana sini terdengar suara meriang.

Datang seorang pendita dari hujung desa lalu bertanya. "Korban untuk siapa?"

Lalu dijawab anak-anak kecil di desa, "korban untuk tuhan!".

"Tuhan yang mana? Yang bertangan empatkah? Yang dipasang colokkah? Yang terpaku di tiang salibkah? atau yang tuhan yang mana?

"Bukan wahai pendita. Ini tuhan yang berkuasa atas segala-galanya, tiada makhluk yang terlepas dari kuasanya, maha tahu setiap perkara, serta maha mulia" ujar anak-anak itu serentak.

"Oh tuhan yang itu. Lalu mengapakah dia memerlukan penumpahan darah haiwan sebagai korban?" si pendita bertanya.

Anak-anak desa terdiam terpaku. Lalu datang beberapa golongan dewasa dari desa itu menjawab "Tuhan tidak melihat darah korban itu, tetapi Dia melihat ketaatan hamba yang mengikuti perintah korban".

"Oh begitu.. Tetapi mengapa dia mahu melihat ketaatan manusia sedangkan dia maha tahu setiap perkara? Jika dia maha tahu, tentu dia sudah sedia maklum siapa yang taat siapa yang tidak"

Lantas orang dewasa desa terdiam. Tampil pula para kiai kehadapan untuk menjawab soalan pendita.

"Wahai pendita, tuhan mahu melihat ketaatan kita kerana Dia mahu menaikkan darjat dan keimanan kita" jawab kiai.

"Jika Dia sememangnya MAHA MENGETAHUI siapa yang taat dan siapa yang tidak, bukankah lebih baik dia terus sahaja menaikkan darjat dan keimanan mereka yang taat itu. Kenapa perlu diwajibkan ritual korban persis budaya zaman purba ini? "

Para kiai terdiam. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Lalu datang para Ulama untuk menjawab.

"Wahai pendita, mengapa dikau mempertikaikan urusan ini? Ini adalah urusan orang yang beragama. Kami mendengar perintah tuhan lalu kami mematuhinya tanpa bicara. Apa masalahnya dengan menyembelih haiwan untuk makanan? Majoriti penduduk dunia membunuh haiwan untuk makanan bukan?" jawab para ulama dengan wajah yang sedikit masam.

Pendita tersenyum. Manakan sama penyembelihan haiwan untuk dijadikan makanan dan penyembelihan untuk tujuan peyembahan. Dia dapat merasakan tekanan dari penduduk desa memenuhi ruang. Ada yang menjeling tajam dari jauh. Pendita faham sudah masanya dia berdiam diri walau hatinya memprotes rationaliti ritual primitif sebegitu. Namun dia tahu ini bukan masanya untuk berhujah.

 


Di atas adalah sebuah kisah benar. Cuma wataknya diubah-suai. Desa itu adalah kampungku. Aku adalah analogi watak sang pendita, dan kiasan watak-watak lain adalah anak-anak saudara, pakcik-pakcik dan golongan otai dalam famili. Ia  adalah dialog spontan berlaku di dalam rumah besar warisan keturunan kami dihujung kampung.

Sejak kecil lagi aku sedikit canggung dengan idea menumpahkan darah haiwan hanya sekadar untuk menarik perhatian tuhan. Namun walau bagaimana pun, demi hormat kepada mereka yang lebih tinggi pangkat kekeluargaan, aku hanya mampu menelan persoalan tersebut. Yang pasti raya kali ini sememangnya aku telah berkorban. Aku korbankan sebentar kebebasan pemikiran. Aku korbankan sebentar kebebasan kata-kataku.

Selamat hari raya korban!

.

Jumaat, 11 Oktober 2013

Ustaz Clubbing Datang Naik Apa?

Aku mempunyai seorang rakan yang agak bipolar apabila masuk bab agama. Adakalanya dia kelihatan alim dan asyik bercerita mengenai kesufian & lain-lain. Namun adakalanya berpewatakan gila-gila bila masuk bab karaoke dan clubbing. Malah sanggup simpan serban dalam kereta semata-mata nak pergi clubbing. Nama panggilannya "Ustaz Clubbing".

Dia tahu aku atheist walau aku tidak pernah pun memberitahunya. Ustaz Clubbing mengatakan kononnya dia mendapat ilham dari ilahi. Aku hanya menjawab dengan ketawa kecil.


Pada suatu hari kami sudah berjanji untuk berbasikal melaui track hutan di FRIM. Janjinya pukul 8 pagi tapi si ustaz clubbing ni tak sampai-sampai. Telefon pula tidak berangkat. Maka aku memutuskan untuk membatalkan aktiviti pagi tu. Tidak mneyeronokkan bagiku berbasikal secara solo.

Santak tengahari baru terdengar bunyi Triton si ustaz clubbing depan rumah. Setelah menjemputnya masuk, kami duduk di ruang tamu.

"Hai ustaz, lambat benar sampai? Ini janji tak ditepati ni" perli saya kepadanya.

"Anta nak tahu kenapa ana lambat sampai?"

"Kenapa lambat?"

Dia membetulkan duduknya. Dari riak wajahnya seolah-olah ingin bercerita suatu yang serius.

"Begini Wan. Sewaktu ana datang ke sini, ana terpaksa menempuh sungai. So tiada sampan atau rakit di situ. Maka ana menungu sebatang pokok tumbang dengan sendiri, kemudian terbelah & terpahat dengan sendiri. Kemudian kayu tersebut tersusun sendiri menjadi sebuah sampan. Dengan sampan itu ana datang kemari." ujar ustaz clubbing dengan wajah selamba.

Aku tersenyum dan di dalam hati menyumpah-nyumpah. Rupanya si ustaz bipolar ini mahu berdebat mengenai ketuhanan dengan aku. Kiasan yang digunakan adalah kiasan klasik golongan agama. Ah, aku paling malas berdebat kerana padaku ianya membuang masa. Orang yang berdelusi tidak akan keluar dari delusi mereka hanya kerana pedebatan. Itu adalah pengalaman aku.

"Are you kidding bro?" soalku.

"Maka begitulah alam ini tidak mungkin terjadi sendiri sama seperti sampan itu yang tak boleh jadi sendiri"

"Ustaz, anta tahu tak menipu tu berdosa?"

"Er.. tau.."

"Habis tu kenapa menipu?! Dah jelas anta datang driving ke mari. Agama anta ajar menipu ke? Tuhan anta ajar menipu ke?"

"Tapi.."

"Mana ada sungai dalam perjalanan ke rumah aku? Kejap lagi kau tunjuk aku sungai tu boleh bro?"

"Takde sungai.. ana hanya berkias.."

"Bukankah itu menipu namanya? Dah la anta mungkir janji. Tidak tepati masa. Lepas tu anta sanggup beri alasan dan menipu aku macam budak-budak?" aku keraskan sedikit suara.

"Ok ok Wan.. Ana minta maaf. Jom kita keluar, ana belanja makan tengahari! Anta pilih tempat! Lepas tu kita pi karaoke. Dah lama ana tak nyanyi lagu Rabbani 'Intifada'!" ujar ustaz clubbing lembut.

"OK ustaz. Naik Triton anta lah. Nak tunggu pokok tumbang terbelah jadi kereta takut ambil masa lama plak!." jawab aku disahut oleh ketawa aku dan si ustaz.


PS: Permainan analogi oleh golongan agama adalah suatu yang biasa dan tipikal. Namun mereka sering terbabas dari landasan premis perbincangan/perbahasan ilmiah tersebut lantaran mereka sendiri tidak berpegang kepada logik sebagai sumber perbahasan. Logical fallacies sepatutnya difahami oleh kedua-dua pihak sebelum analogi digunakan dalam sesuatu perbahasan. Jika tidak, tiada guna berdebat kerana setiap argument akan berlegar-legar dalam bulatan tanpa solusi.


.

Sabtu, 5 Oktober 2013

Aku Menulis Kerana Apa? Hmm..

Aku menulis di dalam blog yang bergenre taboo dan mempunyai target pembaca minoriti ini bukan untuk menghina orang beragama. Kritikan dan ulasan aku adalah terhadap ideologi lama yang dipegang oleh bangsa aku, bangsa Melayu. Pada masa yang sama aku berharap penulisan aku yang sedikit keras terhadap agama dapat memberi satu anjakan persepsi dan provokasi terhadap pemikiran jumud bangsa aku. 

   Ah, aku tidak peduli jika mereka menjadi atheist atau tidak. Apa yang penting mereka dapat memahami realiti sebenar dunia. Mengapa Islam dikaitkan dengan keganasan? Mengapa masyarakat non-Muslim membenci negara Islam timur tengah? Mengapa Muslim semakin mundur dan mundur dalam sains & teknologi? Mengapa remaja Melayu Muslim mengalami krisis dalam moral dan identiti? Itu semua soalan-soalan yang aku ingin tanam kepada benak orang kita dan semoga mereka dapat mencari sendiri jawapannya dari blog ini.

Aku terbaca di sebuah website soal-jawab agama:

 

   Aku ketawa kecil bila penulis itu mendakwa aku mahu menghapuskan Islam. Lebih lucu lagi bila dia mengatakan usaha aku menulis di blog ini hanya membantu menyebarkan Islam. Disambung dengan ekspresi tipikal mereka "Allah Akbar!". Seorang lagi Muslim dengan akal dangkal dan kata-kata yang berakar dari minda berdelusi.

   Aku tiada masalah dengan Islam. Bagiku ia sama seperti budaya manusia yang diturunkan dari generasi ke generasi. Bagaimanapun, ajaran berusia 1400 tahun ini mempunyai potensi menakutkan jika ia diamalkan secara fanatik dan egois tanpa memandang realiti kehidupan zaman ini. Contohnya keganasan atas nama Islam di pelbagai negara (antara yang terbaru: 40 pelajar maut ditembak tentera Islamis di Negeria), pembunuhan kaum Kristian di Syria, pengeboman berani mati (terbaru sekali kelmarin di Iraq, 60 orang maut), penafian hak wanita, perkahwinan bawah umur di Yamen, dan banyak lagi. Hanya mereka yang dalam keadaan denial sahaja tidak nampak perkara ini.

   Muslim di nusantara seumpama robot-robot yang menafikan itu semua berlaku. Seolah-olah otak mereka telah dirakam "Dunia masih aman, Islam agama kedamaian, Kerosakan di dunia berpunca dari orang kafir". Aku pernah menjadi salah seorang 'robot' seperti mereka. Lantaran itulah aku menguatkan hati untuk membuat blog ini bagi membangunkan mereka dari terus tidur dalam penafian.

Oh ya, website di atas itu mengatakan tanpa sedar aku membantu menyebarkan Islam. Biarlah aku jawab dengan screenshot di bawah:

 

Kemudian beberapa hari selepas itu, kami ber'PM sekali lagi.

PS: Moga sahabat semua bebas dari dogma-dogma pemikiran yang sempit dan terpesong dari realiti. Sentiasa kita menghargai setiap hela nafas kita di dunia ini dan menikmati kehidupan yang sebenar-benarnya. Have a good weekend!

.

Jumaat, 4 Oktober 2013

Pengadilan Aisha Ibrahim Duhulow; Kemuncak kecanduan agama yang membenam nilai kemanusiaan.


Ini kisah lama berlaku di Kismayo, selatan Somalia, Afrika. Kisah 5-6 tahun yang lepas. Kisah dimana syariat menjadi undang-undang utama. Agama bukan lagi ditegakkan dengan lisan dan pena. Malah ia ditegakkan dengan senjata api dan bom tangan. Ini adalah kisah seorang gadis bernama Aisha Ibrahim Duhulow yang menjadi mangsa kecanduan agama penganut-penganutnya..

Aisha Ibrahim Duhulow, seorang gadis berusia 13 tahun telah dirogol oleh 3 orang lelaki. Dia dan keluarganya segera berjumpa dengan pemerintah wilayah itu iaitu kumpulan Islamis Al-Shabab untuk membuat aduan. Setelah ketua kumpulan itu mendengar aduan Aisha, dia segera menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada gadis itu. Manakala tugas mencari & menghukum perogol-perogol itu tidak pula menjadi keutamaan bagi mereka.

Dalam agama Islam sememangnya tiada istilah rogol. Ia tidak disebut langsung dalam al-Quran walau ia adalah satu jenayah terbesar di dunia sejak zaman berzaman. Yang ada hanya hukuman bagi zina. Maka dalam zina, yang bersalah adalah kedua-duanya iaitu si lelaki dan si perempuan. Oleh itu jika ada wanita yang mengadu dirogol, maka ia dianggap sebagai pengakuan (verbal confession) bahawa dia telah berzina.

Kumpulan al-Shabab menarik gadis itu ke stadium bola. Pengumuman dibuat kepada penduduk-penduduk tempatan bahawa pelaksanaan hukum rejam akan dilakukan. Semua diwajibkan hadir.

Beberapa activist hak asasi manusia datang melihat namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa berhadapan dengan pihak extremist Islam yang lengkap bersenjata. Mereka melihat tangisan dan teriakkan mangsa dan keluarganya. Bapa Aisha beberapa kali menerangkan yang anaknya tidak bersalah dan masih dibawah umur. Gadis yang berumur 13 tahun itu dilaporkan oleh kumpulan Al-Shabab sebagai wanita berumur 23 tahun berzina dengan 3 lelaki. Mereka juga memberitahu media kemudiannya bahawa Aisha Ibrahim Duhulow mengaku kesalahannya dan dengan rela hati menerima hukuman tersebut.

"Jangan! Jangan! Tolong jangan bawa saya ke situ! Jangan bunuh saya! Jangan bunuh saya!" itu adalah jeritan gadis tersebut, diberitahu sendiri kepada media oleh mereka yang berada berdekatan mangsa.

Aisha Ibrahim Duhulow kemudian diheret dan dimasukkan ke dalam sebuah lubang di tengah stadium hingga terbenam separuh badan. Stadium bola sepak itu mula dibanjiri lebih 1000 penduduk Kismayo dan kawasan sekitar. Dalam kekalutan tersebut, rayuan gadis ini langsung tidak dipedulikan.

50 orang tampil untuk menjadi perejam. Rayuan si gadis hilang berganti bunyi batu-batu dilempar dari seluruh arah. Selepas 10 minit, Aisha tidak lagi bergerak. Mereka mengeluarkannya dari lubang dan mengarahkan 2 petugas medic untuk memeriksa samada dia masih hidup atau sudah mati. Petugas perubatan mengatakan si gadis masih bernyawa. Tanpa berlengah, Aisha ditanam semula dan lontaran batu bermula sekali lagi dengan lebih kejam. Ianya berlangsung sehinggalah mereka pasti yang Aisha meninggal dunia.

Bukan semua bersetuju dengan tindakan al-Shabab. Ada sekumpulan penduduk yang cuba membantah. Pihak militan al-Shabab telah melepaskan tembakan sehingga melukakan seorang lelaki dan membunuh seorang kanak-kanak berusia 8 tahun. Pihak al-Shabab kemudiannya telah memohon maaf kepada mangsa dan keluarga mangsa atas tembakan tersebut.

"Kami akan melakukan apa sahaja yang Allah arahkan kepada kami" tegas kumpulan Al-Shabab sebelum menyuruh penduduk bersurai.

 

PS: Sebenarnya amat berat untuk aku menulis kisah ini. Beberapa kali aku bertangguh lantaran perasaan geram, marah, kecewa, sedih yang membuat aku hilang kata-kata. Banyak kisah-kisah sebegini berlaku di seluruh dunia terutama negara-negara Islam. Benar, kezaliman berlaku dimana-mana, namun kisah-kisah seperti di atas adalah bukti kelemahan ajaran agama sebagai rujukan utama sesebuah negara atau pemerintahan. Muslim terutama di nusantara akan mengatakan ia adalah salah penganut bukan salah agama. Tetapi jika agama yang dikatakan paling sempurna pun gagal mendidik jiwa penganut-penganut tegarnya, maka bukankah itu mencerminkan kecacatan agama? There has got to be something wrong with the ideology for it to happen so often.

   Negara Islam manakah yang telah menerapkan 100% hukum syariah tidak berlaku pergolakan? Malah sejurus selepas kematian nabi Muhammad, seluruh masyarakat Islam porak peranda. Golongan murtad bertambah dengan pesat hingga khalifah pertama terpaksa mengistiharkan perang. Khalifah kedua dan ketiga mati dibunuh. Masyarakat Islam kemudian berpecah antara pengikut khalifah keempat, Ali (menantu nabi) dan Muawiyah (sahabat nabi). Mereka saling berbunuhan. Belum lagi mengenai perang Jamal antara isteri nabi (Aisyah) dan Ali menantu nabi. Seolah-olah ajaran Islam mengenai kasih sayang hilang bersama wafatnya nabi Muhammad.

   Mungkin hukum syariat boleh dijalankan dengan cemerlang pada 1400 tahun dahulu. Tetapi masa berlalu dan masyarakat mula berubah. Pemikiran semakin tinggi dan jauh. Moraliti telah beranjak ke suatu paradigma yang lebih global, lebih sesuai buat zaman tersebut. Wanita dan lelaki berdiri di aras yang sama, saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Undang-undang tidak lagi barbaric dan sadistik seperti hukuman rejam atau kerat anggota badan. Pencapaian ilmu sains telah mencapai tahap memberangsangkan berbeza dengan zaman-zaman sebelumnya. Ya, ianya tidak sempurna dan masih berhadapan dengan pelbagai masalah. Namun ia adalah praktikal dan sesuai dengan kehendak zaman. Malah ia boleh diperbaiki dan diperbaiki lagi oleh setiap generasi yang mendatang.


Wan Izzuddin, 3.38 am.

Halusinasi Menjadi Agama.




.

Isnin, 23 September 2013

Sekali Terbangun Tidak Mungkin Dapat Tidur Kembali.

Ini adalah soalan dan perkongsian pengalaman dari seorang pembaca blog yang amat menarik kerana ia suatu situasi yang sering berlaku kepada seorang atheist sewaktu mula-mula meninggalkan agama. Saya kongsikan komen beliau di sini (selepas di edit sedikit) untuk tatapan para pelawat blog.
    " Aku ada soalan nak tanya, apa pendapat korang. Aku ni dulu alim dan pernah masa aku nak ambik spm aku sembahyang hajat 90 hari berturut turut dan "alhamdullilah?" aku dapat 9A. Masa aku belajar di universiti aku kenal dengan mamat ni sorang. Dia melayu tapi mak dia kawin dengan arab palestin. Nenek dia sekarang berpindah ke israel. Dia pernah kata kat aku israel layan orang arab 1000x lagi baik berbanding negara arab yang lain. Dia ni pandai. Geng dia (juga melayu) jenis kuat minum dan tak sembahyang. Banyak muzik bagus aku tahu dari dia, macam Arcade Fire dan Arctic Monkey. Tapi apa yang aku kagum mereka ni hidup punyai kesedaran sivik yang aku fikir adalah first world mentaliti (contohnya: lepas makan kat restoran self serving mcm McD, dia kutip segala bagai dia & the gang makan dalam tray, dan kosong kan tray tu kat tempat buang sampah, so org lain boleh terus duduk tempat dia lepak tadi tanpa cleaner crew datang bersih).
           Aku pernah tanya dia kenapa dia tak sembahyang. Dia kata bagi dia sekarang aku tidur, dia tak nak kejutkan aku sebab sekali aku terbangun dah tak boleh tidur lagi. Aku tak paham. Aku tetap nak tahu. Kemudian dia mula bagitau dia tak percaya pada agama & malas nak berhujah sebab semua hujah dia ada dlm buku Dawkins dan Sam Harris. Aku ni bodo, pergi download buku2 tu dan baca cover to cover. Lepas baca tengok plak video2 kat Youtube (walaupun masa tu xde duit nak subscribe broadband laju). Sekarang aku jadi freethinker (agnostic to be exact) berpunca dari mamat tu. Aku berjaya dalam pelajaran & mendapat kerja yang baik. Mak aku kata dia bangga dengan aku sebab jadi contoh kepada adik2 yang lain tapi amat kecewa dengan aku yang tak sembahyang dan tak mengamal cara hidup islam. Mak kata aku kufur nikmat.

       Sebenarnya bukan sekali aku mencuba untuk kembali ke "pangkal jalan" ni. Tapi ibarat kawan aku tu kata sekali terkejut dari tidur ni tak mungkin da boleh tidur balik. Kalau keluar islam masuk kristian ok lagi, boleh lagi diislamkan semula. Tapi bila dah TERSEDAR tanpa apa medium lain (seperti agama) tak mungkin boleh kembali tidur (kembali beragama) lagi, melainkan ada orang boleh reboot otak ni.
           Masa ramadhan 2011 aku puasa penuh, malam mengaji dan terawih 30 hari mengikuti ceramah2 agama disurau, pergi balik kerja dengar ceramah ustaz Idruz. Tapi tak berjaya. Aku pernah join tabligh seri petaling, tapi bila aku dgr hujah2 ketauhidan mereka ni aku tau ia tidak boleh diguna pakai bagi yang berfikir. Hadith2 pula bagiku kelakar kerana banyak element yang self contradictory mcm syaitan diikat dibulan puasa tapi ada juga orang buat perkara dosa. Kemudian disalahkan pula nafsu, tapi tanpa nafsu mcm mana manusia boleh hidup gembira disyurga? Maka diada-adakan pula nafsu jahat tak jahat. Quran pula bercanggah dengan sains seperti ayat sperm dari tulang rusuk, dan matahari muncul dari tanah berlumpur dilihat oleh zulkarnain (masa tu mereka tak paham tentang bumi ni bulat).
       Tapi aku masih lagi rasa cemburu pada mereka yang muslim ni, hidup mereka simple, percaya sungguh pada tuhan, mati dibangkitkan semula, sayang pada islam dan terus berharap hudud dilakusanakan di Malaysia. Kadang2 aku nak hidup macam tu mengikut arus tapi tak boleh. Hidup dua identiti macam aku ni kadang payah contohnya raya tahun 2013 aku join family baca yasin kat kubur arwah datuk aku semata2 nak diterima oleh mereka.
           Aku nak tanya apa pendapat korang? Adakah patut org macam kita berhijrah keluar negara? Sebab kita minoriti yang jika diketahui majoriti diangap sebagai sesat & hina. Kadang2 aku kena berlakon, contohnya bila balik kampung tak larat kene bebel oleh mak, aku pergi sembahyang jumaat walaupun bila dgr khutbah aku rase isinya adalah bertentangan dengan common sense dan logik akal (nak ketawa pun ada). Dan bila aku sembahyang, aku dengar imam menangis. Aku rasa alahai kesiannya kerana menangis takut kepada yang tiada.
       Tapi kadang2 aku cemburu dengan mereka ini yang merasakan dengan penuh yakin inilah kebenaran yang hakiki, hidup senang ikut je apa orang buat. Tapi ibarat kata kawan ku itu, sekali kau terjaga takkan boleh lagi tidur seperti mereka ini. "
 
Jawapan saya:

Perasaan ingin kembali 'tidur' dan terus berdelusi adalah satu fasa, saya kira biasa terjadi di kalangan yang datang dari background keluarga yang religious atau mereka yang sememangnya kuat agama. Saya sendiri mengalami fasa tersebut sewaktu mula-mula menjadi agnostik terhadap ketuhanan. Perasaan yang bercampur-baur dengan kemarahan kepada tuhan yang forsaken/membiarkan saya terumbang ambing dalam konflik akidah. Beribu doa saya pohon supaya tuhan memberi paling kurang satu 'sign' atau 'alamat' mengenai kebenaran islam namun tiada jawapan yang diterima. Pada masa itu juga timbul keinginan untuk kembali duduk dibawah tempurung agama dan menutup suis logika. Saya ingin hanyut dalam delusi agama kerana takut, risau & tidak bersedia menghadapi realiti.

Namun seperti yang saya katakan tadi, ianya adalah satu 'fasa'. Setelah terumbang-ambing dalam emosi dan perasaan, kini segala-galanya dah kembali normal. Saya tidak lagi memandang golongan yang masih 'tidur' itu sebagai golongan yang bertuah (lucky). Malah mereka adalah golongan manusia yang tidak merdeka mindanya dan terperangkap dalam kejahilan.

Dunia tercipta lebih kurang 4.6 billion tahun dahulu. Simple cells wujud 3.6 billion tahun dahulu. Pada 60 juta tahun dahulu, moyang primat mula mengenal hidup. Setelah berevolusi jutaan tahun, muncul spesis manusia moden pada 200 ribu tahun yang lampau. Kemudian pelbagai tamadun tercipta dari Mesopotamia, Mesir purba Parsi, Greek dan lain-lain datang dan pergi bersilih ganti.

Kemudian sampai zaman kita dimana rahsia langit dan bumi semakin jelas terungkap lantaran kemajuan Sains & teknologi. Kajian-kajian yang rapi dan menyeluruh giat diadakan dari hari ke hari. Jutaan saintis dari dahulu hingga sekarang dari pelbagai negara mengharungi cabaran demi memahami realiti.

Namun ciptaaan 3 agama samawi oleh manusia memberi impak yang besar dalam kehidupan insan. Agama ini mempunyai kebaikkan dan keburukkannya. Tetapi masalah yang ia timbulkan jauh lebih besar dari kebaikkannya. Minda manusia yang memeluk agama terperangkap dengan dogma ribuan tahun dahulu. Perangkap ini membuatkan kreativiti dan perasaan ingin tahu manusia tidak lagi bebas. Mereka seumpama banduan terpenjara dalam lokap agama, tidak berani membantah, dan tidak berani bersuara. Maka jadilah mereka ini golongan yang tertidur.

Kita beruntung lahir di zaman ini. Amat-amat beruntung. Jika kita lahir pada zaman Parameswara contohnya, tentu kita tidak kenal apa itu sains, big bang, evolusi, quantum dan pelbagai lagi. Berbillion manusia tidak mendapat peluang serta kekuatan untuk berfikiran secara bebas dan terbuka seperti apa yang kita perolehi sekarang. Ia perlu dihargainya seperti permata yang amat bernilai. Dan semestinya permata ini tidak akan dapat pada golongan yang tertidur.


Berhijrah ke negara luar adalah pilihan masing-masing. Jika kita rasa duduk di Malaysia memberi tekanan fizikal atau mental, lebih baik berpindah keluar. Seperti saya sudah biasa dengan kehidupan di Malaysia. Yup, kadang-kadang perlu berlakon. Tetapi itu saya anggap satu pengorbanan buat menenangkan perasaan ibubapa dan keluarga. Yang penting kita tahu siapa kita dan kita sedar kita adalah orang yang sudah terjaga. Kita adalah golongan yang berpijak di bumi nyata. Tidak mungkin kita nak menghina intelektual kita sendiri dengan  kembali menjadi golongan yang masih 'tidur'. Betul tak?  :)

.

Khamis, 19 September 2013

Kisah Dongeng dan Agama.


Seluruh masyarakat dunia dari Jepun, China, India, Nusantara, hingga ke Eropah dan tanah Arab mempunyai kisah-kisah fairytales tersendiri. Dengan mudah manusia dapat mengkategorikan kisah-kisah itu sebagai kisah dongeng ciptaan manusia. Namun apabila kisah-kisah ini bersatu dengan agama, para penganutnya menutup suis logika mereka. Segala kisah tersebut ditelan sebagai kisah benar tidak kiralah segila manapun jalan ceritanya.

Bagi orang agama, kisah dalam kitab suci adalah benar belaka. Untuk meyakini kisah-kisah tersebut, akal perlu dibuang keluar, digantikan dengan segala kegilaan mengenai tuhan yang kuat cemburu, pemarah, pendendam dan sadistik yang amat suka menghancurkan seluruh kaum purba atas alasan, mereka tidak meyakini kewujudanNya. Cerita berbeza namun konsep yang sama diulang-ulang. Kisah tuhan egoist membisik wahyu kepada seorang lelaki secara senyap-senyap, kemudian menyuruh lelaki tadi menyebarkannya kepada masyarakat umum. Jika mereka menolak, semua sekali tak kira anak-anak, orang tua, wanita, serta haiwan peliharaan akan dihapuskan dengan bencana alam seperti ribut, gempa bumi dan banjir besar.

Belum lagi masuk bab manusia hidup dalam perut ikan, laut terbelah dua, unta keluar dari batu, manusia kebal api, haiwan bercakap dengan manusia, batu boleh berlari, bayi lahir tanpa benih bapa, bulan terbelah dua, manusia mati hidup semula, dan pelbagai lagi kisah yang boleh diklasifikasi sebagai dongengan.

Saya tiada masalah jika ada sahabat-sahabat yang ingin terus meyakini kisah-kisah dongeng tersebut. Namun janganlah dihina dan dimarahi mereka yang tidak mahu mempercayainya. Kami adalah golongan yang meraikan rasionaliti akal fikiran. Kisah-kisah dongeng bagi kami sekadar hiburan. Jadi jangan terasa hati jika kami ketawa takala mendengar kisah-kisah tersebut diceritakan dengan begitu serius dan penuh emosi oleh golongan agama.

.

Rabu, 18 September 2013

Menilai dan Mengkritik Kehidupan.


Manusia adalah spesis yang sentiasa berfikir, membuat penilaian, pembandingan dan kritikan secara sedar atau tidak terhadap perkara yang berada disekitar mereka. Keputusan sesuatu penilaian adalah unik bagi setiap individu bergantung kepada orientasi pemikiran, keyakinan, dan ketajaman akal masing-masing. Inilah yang membuatkan manusia mempunyai pelbagai sikap (attitude) terhadap isu-isu dalam kehidupan.

Walaupun kita mempunyai pelbagai penilaian sendiri, namun bukan semua boleh dizahirkan. Kita tidak sepatutnya mengkritik kecacatan fizikal insan lain seperti lumpuh, tempang atau kudung anggota badan. Kita juga tidak sepatutnya menghina wajah insan lain yang kita nilaikan sebagai 'hodoh'. Begitu juga kita tidak boleh mengkritik seseorang berdasarkan bangsa atau warna kulit.

Namun berbeza dengan idea atau ideologi, ia terbuka untuk sebarang penilaian dan kritikan. Tiada sekatan untuk manusia menilai sesuatu idea. Malah adalah satu kewajiban sesuatu idea itu dikaji baik dan buruknya sebelum ia diaplikasikan dalam kehidupan. Mereka yang menyokong idea tersebut tidak perlu marah jika ianya dikritik. Ini kerana yang dikritik adalah 'ideologi' bukannya individu yang menyokongnya.

Ini adalah hak asas dalam kehidupan manusia. Kebebasan mengkritik sesuatu ideologi tidak boleh disekat. Setiap ideologi terbuka kepada penilaian dan kritikan walaupun ideologi itu disanjung oleh penyokong-penyokongnya setinggi langit. Sikap patuh membuta-tuli tanpa menilai dengan rasional sesuatu idea adalah suatu penghinaan terhadap intelektual manusia.

Pelbagai ideologi ketuhanan telah tercipta dalam sejarah manusia yang dipanggil sebagai 'agama'. Ada yang telah pupus dan ada yang masih bertahan hingga ke hari ini. Tuhan atau dewa adalah autoriti paling tinggi dalam sesuatu agama dan ia tidak terlepas dari penilaian tulus akal manusia yang rasional. Nama-nama seperti Zeus, Thor, Horus, Anubis dan lain-lain yang menjadi sembahan kaum dahulu kini menjadi sekadar mitos.

Bayangkanlah jika manusia tidak berani mengkritik ideologi di atas, tentu sekarang manusia masih menyembah Zeus, Thor, Horus dan lain-lain.

Tiada ideologi agama yang kebal dari kritikan dan penilaian manusia. Walau sekuat manapun anda mengimani sesuatu agama, anda tidak boleh memaksa orang lain meyakini apa yang anda yakin. 

Orang yang beragama sentiasa memandang agama lain sebagai terpesong. Mustahil mereka memandang agama lain sebagai benar dan tulus. Begitu juga sebaliknya. Proses penilaian sentiasa berlaku tidak kiralah anda berpegang pada agama atau pun tidak.

Akhir kata, jangan menghalang manusia dari membuat penilaian dan kritikan terhadap sesuatu ideologi. Jika mereka mahu menerima sesuatu ideologi setelah membuat penilaian, itu adalah hak mereka. Jika mereka mahu menolak sesuatu ideologi setelah membuat penilaian, itu adalah hak mereka. Malah jika mereka mahu meninggalkan sesuatu ideologi yang mereka pegang selama ini setelah membuat penilaian, itu adalah hak mereka. Tiada hak untuk sesiapa pun di muka bumi ini bagi menghalang atau menafikan hak mereka.


.

Isnin, 16 September 2013

Menjawab Soalan Evolusi si Pen'Copy Paste.


Jawapan:

Lucu. Amat lucu apabila kamu mengatakan kami kaum pemalas yang hanya mendengar di internet. Sedangkan ayat-ayat kamu mengenai Java man 100% copy paste dari website katolisitas.org , sebuah website Kristian Catholic! Haha! Bercakap berdekah-dekah, tapi semua copy paste dari internet. Website agama lain pula tu! Kau memang jenis tak tau malu ke? Saya dah nasihatkan kamu banyakkan baca buku Sains evolusi TERBARU, tapi kau malas, bodoh dan sombong. Kau seperti jenis manusia yang lebih hina dari sampah la bro (minta maaf cakap).


Tapi tidak mengapa, saya akan jawab juga statement copy paste kamu tu.

Sains adalah satu cabang ilmu yang sentiasa di upgrade mengikut penemuan-penemuan baru. Teori-teori pula dicipta bagi menerangkan sesuatu fenomena berdasarkan kajian terhadap semua penemuan yang ada pada masa tersebut (teori perlu melepasi pelbagai ujian dan kajian). Namun teori mungkin berubah lantaran ada penemuan baru yang menjelaskan lagi perkara tadi. Ini semua menunjukkan Sains sentiasa memperbaiki dan pemperbetulkan dirinya sendiri.

Dan dalam Sains juga ada minda-minda yang licik dan suka menipu (seperti kau la ni) hingga mencipta fossil sendiri seperti Piltdown Man yang disangka 'the missing link'. Rupa-rupanya adalah fossil ciptaan manusia. Dari sini komuniti Sains semakin berhati-hati dalam membuat kajian evolusi manusia.

Masalah dalam Java man adalah sedikit rumit kerana Dubois mewar-warkan penemuan secebis tulang kepala (skull) dan tulang kaki (femur) menyerupai manusia adalah 'the missing link'. Komuniti Sains menolak penemuan tersebut kerana kedua-dua tulang tersebut ditemui dari tempat yang berasingan. Memang ada yang mengatakan cebisan tulang kepala itu adalah sejenis gibbon (kera), namun kajian kemudiannya mengesahkan skull itu jauh lebih besar (900cc) dari kepala seekor gibbon (100cc).

Seperti yang saya sebutkan, Sains sentiasa memperbaiki dan memperbetulkan dirinya sendiri. Kajian yang dibuat selepas itu mengesahkan Java man bukannya 'the missing link' seperti yang didakwa Dubois tetapi ia adalah dari kumpulan Homo Eractus yang mengembara ke Indonesia dari Afrika 800 000 tahun dahulu. Kerana itulah ia dimasukkan dalam rantaian evolusi manusia.

Sebenarnya jika ingin menerangkan secara terperinci kontroversi penemuan Eugène Dubois memang panjang. Namun pokok-pangkalnya penemuan ini langsung tidak menganggu teori evolusi malah ia menguatkan lagi. Lagipun untuk saya bercerita panjang memerlukan saya membuka balik buku-buku lama saya. Kemudian terpaksa pula mengambil masa menyusun kronologi penemuan tersebut satu-persatu.

Saya fikir ianya TIDAK berbaloi hanya untuk menjawab statement copy paste seorang manusia yang bodoh lagi sombong serta malas membaca dan membuat kajian sendiri seperti kamu Hasim Baharuddin@Sainsrantingagamapokok.

Masalah kamu adalah tidak memahami evolusi secara mendalam. Kami tidak mengatakan manusia berevolusi dari monyet. Tetapi kami mengatakan manusia berkongsi 'keturunan yang sama' (common ancestor) dengan spesis primat (infact we're primates). Ianya tidak semudah carta evolusi yang selalu kita lihat di kelas-kelas sains masa sekolah rendah dahulu.

Klik Untuk Zooming.

Lagi satu, penggunaan Sains DNA terkini telah menjawab banyak soalan dan ruang kosong dalam kajian evolusi. Penemuan kromosom primat dalam kromosom manusia adalah bukti paling jelas yang manusia berkongsi common ancestor dengan primat. Penjelasan lebih jelas boleh dilihat pada video dibawah:
 

Kesimpulan:
Kajian evolusi adalah kajian Sains yang amat menarik untuk diikuti. Ianya sebuah teori yang didirikan oleh keringat serta minda ribuan para archeologi, biologist, chemist, anthropologist, dan pelbagai pihak di seluruh dunia setiap tahun.

Golongan agama mengatakan penemuan para Saintis di atas adalah penipuan dan satu konspirasi menjatuhkan agama mereka. Tidakkah mereka terfikir yang mustahil seluruh ahli Sains tersebut menipu dari tahun ke tahun? Jelas pemikiran yang diracuni dogma agama telah menjadi sebati dalam otak mereka, hingga mereka tidak mampu menerima realiti yang mereka itu salah.

Hasim Baharuddin@Sainsrantingagamapokok, sekali lagi saya menasihati supaya banyak membaca. Kurangkan tahap keegoan dan kesombongan yang menyumbat kebolehan anda untuk berfikir. Jangan sekadar copy paste dari hujah sampah orang Kristian. Kaji dari sumber yang benar-benar saintifik. Jangan asyik auta dan temberang orang sana-sini solah-olah anda ni bijak pandai. Jika anda bodoh, mengaku kekurangan diri dan belajarlah lagi. Terima kasih.

.

Sabtu, 14 September 2013

Senyuman Wanita Kecanduan..


Manusia yang normal tidak akan tersenyum setelah membunuh orang awam dan kanak-kanak dengan serangan bom. Namun manusia yang kecanduan agama boleh ketawa mengingati perbuatan zalim mereka. Kenapa? Kerana mereka merasakan apa yang mereka lakukan itu diredhai tuhan. Darah insan-insan kecil yang tak berdosa bagi mereka umpama haiwan korban kepada tuhan.

Orang yang baik akan tetap baik dan orang yang jahat akan tetap jahat tidak kiralah dia beragama atau tidak. Namun yang mampu mendorong orang yang baik berbuat jahat adalah agama.

.

Jumaat, 13 September 2013

Antara 2 Pilihan Jalan.


Pilihan terbentang luas. Mana satu jalan yang anda pilih?
  • Adakah anda ingin menjadi golongan yang pandang ke masa silam atau golongan yang pandang ke masa hadapan?
  • Adakah anda ingin menjadi manusia yang yakin pada fantasi atau manusia yang berpegang kepada bukti?
  • Adakah anda mahu menerima membuta-tuli apa yang anda pelajari atau anda mahu berfikiran kritis & rasional terhadapnya? 
  • Adakah anda mahu terkurung dalam undang-undang barbaric orang Arab 1400 tahun dahulu atau anda mahu mengikut undang-undang terkini yang dibuat hasil pemikiran manusia yang rasional dan berperikemanusiaan.
  • Adakah anda mahu diancam dan diugut dengan azab seksaan jika bercanggah pendapat dengan kitab suci, atau anda dipuji apabila anda bercanggah pendapat serta mengemukakan penemuan baru dalam kajian sains dan teknologi?
Sukar bagi mereka yang terperangkap dalam dogma agama untuk melihat alternatif lain jalan yang mereka lalui. Tetapi fahamilah, pilihan sentiasa ada. Malah kuasa memilih itu ada ditangan setiap individu. Buatlah pilihan sekarang. Jika tidak sekarang, bila lagi anda ingin keluar dari delusi dan manipulasi agama? Bila lagi untuk anda hidup dengan fikiran yang bebas dengan perspektif kehidupan yang jauh lebih luas?


.

Rabu, 11 September 2013

Tiga Sifat Dalam Satu.


Tuhan, suatu konsep ciptaan manusia. Diletakkan kepada tuhan itu sifat maha berkuasa (all-mighty), maha mengetahui (all-knowing) dan maha penyayang (all-loving). Namun mereka tidak sedar yang 3 sifat tersebut tidak boleh bersatu secara harmoni. Bila 3 sifat ini bercantum pada satu entiti, penyifatan entiti tersebut menjadi paradox, bercanggahan dan mustahil.

Jika manusia memahami konsep falsafah Epicureanism ini, maka mereka akan faham bahawa mustahil tuhan mempunyai 3 sifat di atas dalam satu masa. Sekaligus ini membuktikan tuhan itu dicipta oleh minda manusia yang keliru dengan konsep yang mereka reka sendiri.


.

Selasa, 10 September 2013

Kisah Dongeng Yang Dulunya Agama.


Pelbagai agama dan kepercayaan dicipta oleh manusia sejak ribuan tahun dahulu. Kebanyakan agama tidak dapat bertahan melawan arus zaman. Ada yang dihapuskan oleh agama baru, dan ada juga yang hilang sendiri lantaran pupusnya tamadun atau masyarakat yang menganutnya.  Agama kuno ini kemudiannya menjadi mitos, kisah dongeng atau kisah purbakala.

Manusia adalah pencipta agama. Secara tidak langsung, manusialah yang mencipta entiti yang dipanggil 'TUHAN'. Lantaran itu tuhan mewarisi sifat kemanusiaan seperti marah/murka, benci, sayang, rindu, kasih, ego, narcissistic, sentiasa mahu dipuji dan sebagainya. Dan kerana manusia yang mencipta agama, maka pengikut agama tersebut sahaja yang diwar-warkan selamat pada akhir kehidupan. Pengikut agama lain akan dihumban ke neraka.

Lihat sahaja agama Yahudi, Kristian & Islam. Masing-masing mengatakan jalan mereka adalah betul dan hanya pengikut mereka masing-masing sahaja akan menjejak kaki ke syurga.

Mungkin satu masa nanti, agama-agama semitic ini pula akan dianggap sebagai kisah dongeng. Ia akan menjadi himpunan kisah fairytale yang diceritakan kepada anak-anak sebelum mereka tidur sebaris kisah Red Riding Hood dan Snow White. Dan mungkin juga pada masa itu manusia hidup lebih gembira lantaran tiada kebencian antara agama dan tiada keganasan atas nama tuhan.

.