Memaparkan catatan dengan label Kisah Benar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Benar. Papar semua catatan

Khamis, 3 Oktober 2013

Kisah Seorang ex-Muslimah.

Ini adalah satu kisah yang diceritakan oleh salah seorang pembaca blog tidak bernama. Kisah gadis ini agak sama dengan kisah saya kerana kami sama-sama mempunyai identiti agama yang kuat sejak kecil. Ini adalah kisah beliau:

"Saya adalah bekas penganut Islam yg agak konservatif dan telah menjadi ateis.Saya berasa gembira dan lega sekali apabila membaca tulisan ini.. Seperti membaca sebahagian luahan perasan saya sendiri. Sejak meninggalkan agama Islam 2 tahun lepas, saya juga berasa MARAH, SEDIH dan BENCI kerana berasa tertipu dan jadi mangsa agama. Saya telah menjadi seorang Islam yang boleh dikatakan taat agama selama 26 tahun. Tidak pernah meninggalkan solat sejak tingkatan satu sehingga 2 tahun yg lalu dan tahu hadith mengenai setiap pergerakan dalam solat. Memakai tudung sejak darjah 4 sehingga sekarang .
   Semasa sekolah rendah, selain daripada menerima pendidikan agama dari sekolah kebangsaan, saya juga mengikuti kelas fardhu ain dan juga bersekolah di sekolah agama rakyat di waktu petang. Mendapat pendidikan agama juga dari sekolah agama yang memang pilihan sendiri bukan keluarga kerana ingin menjadi muslimah yang lebih baik. 
   Saya tidak pernah bercinta selama saya hidup 27 tahun kerana 'bercouple' dikira haram. Kononnya ingin mendapatkan jodoh dan berkahwin kerana Allah. Jadi saya menolak cubaan lelaki memikat saya. Terasa bodohnya saya. Saya juga selalu cepat rasa bersalah kalau membuat perkara yang dikira berdosa dalam agama walaupun perkara kecil. 
   Dalam 5 tahun sebelum mengambil keputusan untuk keluar Islam, saya membaca al-Quran dengan terjemahan.dan juga belajar memahami hadith secara online. Saya juga menjadi rujukan kawan2 tentang hal2 agama dan masih lagi sedemikian kerana saya perlu berlakon menjadi Muslim yang baik. 
   Permulaan saya keluar dari Islam apabila saya mengetahui bahawa fahaman muktazilah yang mengangkat logik akal mengatasi ilmu wahyu pada zaman keemasan Islam di zaman khalifah Abbasiyah yang telah membawa mereka maju dalam pelbagai bidang. Kemajuan mereka bukan sebab agama Islam pun. Sebelum ini otak saya didoktrinkan bahawa al-Quran itu panduan manusia sejagat dan jawapan kepada kehidupan manusia dalam pelbagai bidang tetapi apabila membaca terjemahan2 di dalamnya saya tak rasa ianya penduan pun. Kisah2 nabi seperti kisah2 dongeng yang diulang2 dalam beberapa surah yang berbeza kononnya untuk pengajaran tapi tiada penjelasan terperinci. Baik baca buku sejarah peradaban dunia, boleh diketahui terperinci tempat, masa dan pelakunya yang menunjukkan kejadian itu sememangnya terbukti berlaku . 
   Banyak ayat suci pun asyik-asyik menyentuh hal hukuman macam tuhan ni kejam sangat. Belum lagi diskriminasi kepada perempuan yang banyak dilakukan oleh Islam berbanding agama lain. Tak pakai tudung dalam masyarakat melayu Islam pun dikira mcm berdosa besar sangat. Perempuan disalahkan apabila terjadinya rogol sebab tak tutup aurat. Perceraian berlaku kerana perempuan tidak ikut perintah suami. Bercinta sebelum kahwin dilarang sebab takut terlanjur jadi disuruh berkahwin seolah-olah  perkahwinan dalam Islam ni sekadar nak halalkan seks je. Pastu lelaki jadi raja sebabnya lelaki diangkat sebagai pemimpin dan perempuan jd macam hamba. Sejak keluar dari Islam baru terfikir semua ni dan rasa sangat stress memikirkan keadaan keadaan wanita dalam Islam.
   Sengaja saya menulis sebegini kerana mahu masyarakat yg beragama Islam faham yang bukannya semua orang Islam keluar agama itu sebab mahu kebebasan melakukan maksiat tetapi ada juga seperti saya yang keluar agama kerana saya mengkaji. Tambah-tambah org Islam jarang bersolat, tak tau pun makna ayat al-Quran dan kaki maksiat tidak layak memandang rendah kepada orang seperti saya kerana mereka sendiri tidak memahami dan mengamalkan Islam. Walaupun saya murtad, saya berpegang kepada Golden Rule
   Saya tidak mahu berdakwah kepada orang yang beragama kerana sangatlah sukar bagi seorang penganut yang agak taat meninggalkan 'tuhan'nya. Ianya lebih perit dari menghadapi kematian orang tersayang. Dulu apa-apa yang saya buat, saya akan buat atau cuba buat semuanya adalah demi Allah. Jadi tentulah saya rasa sedih bila saya kehilanganNya. Saya pernah fikir tidak mahu hidup lagi... Namun saya cuba tabahkan hati, cuba melakukan perubahan positif dalam pemikiran dan tindakan saya. Akhirnya saya dapat melalui penderitaan kehilangan tuhan dalam masa setahun setengah ini walaupun saya perlu berlakon sebagai penganut agama Islam."
-----------------------------end----------------------------------------

PS: Terima kasih atau perkongsian saudari. Pertama sekali tahniah atas keberanian saudari melangkah keluar dari dogma agama. Benar, bukan semua yang keluar dari agama untuk mengejar nafsu. Ramai dikalangan ex-muslim adalah golongan berpendidikan dan telah menghabiskan banyak masa dalam mendalami agama. Yang membezakan mereka dan orang agama yang lain adalah mereka mendalami agama demi mencari kebenaran, tanpa takut untuk mempersoalkan sebarang keraguan yang dijumpainya sepanjang pengajian mereka. Saya berharap moga saudari tabah, be positive dan dapat menikmati kehidupan dengan sepenuhnya.


.

Isnin, 23 September 2013

Sekali Terbangun Tidak Mungkin Dapat Tidur Kembali.

Ini adalah soalan dan perkongsian pengalaman dari seorang pembaca blog yang amat menarik kerana ia suatu situasi yang sering berlaku kepada seorang atheist sewaktu mula-mula meninggalkan agama. Saya kongsikan komen beliau di sini (selepas di edit sedikit) untuk tatapan para pelawat blog.
    " Aku ada soalan nak tanya, apa pendapat korang. Aku ni dulu alim dan pernah masa aku nak ambik spm aku sembahyang hajat 90 hari berturut turut dan "alhamdullilah?" aku dapat 9A. Masa aku belajar di universiti aku kenal dengan mamat ni sorang. Dia melayu tapi mak dia kawin dengan arab palestin. Nenek dia sekarang berpindah ke israel. Dia pernah kata kat aku israel layan orang arab 1000x lagi baik berbanding negara arab yang lain. Dia ni pandai. Geng dia (juga melayu) jenis kuat minum dan tak sembahyang. Banyak muzik bagus aku tahu dari dia, macam Arcade Fire dan Arctic Monkey. Tapi apa yang aku kagum mereka ni hidup punyai kesedaran sivik yang aku fikir adalah first world mentaliti (contohnya: lepas makan kat restoran self serving mcm McD, dia kutip segala bagai dia & the gang makan dalam tray, dan kosong kan tray tu kat tempat buang sampah, so org lain boleh terus duduk tempat dia lepak tadi tanpa cleaner crew datang bersih).
           Aku pernah tanya dia kenapa dia tak sembahyang. Dia kata bagi dia sekarang aku tidur, dia tak nak kejutkan aku sebab sekali aku terbangun dah tak boleh tidur lagi. Aku tak paham. Aku tetap nak tahu. Kemudian dia mula bagitau dia tak percaya pada agama & malas nak berhujah sebab semua hujah dia ada dlm buku Dawkins dan Sam Harris. Aku ni bodo, pergi download buku2 tu dan baca cover to cover. Lepas baca tengok plak video2 kat Youtube (walaupun masa tu xde duit nak subscribe broadband laju). Sekarang aku jadi freethinker (agnostic to be exact) berpunca dari mamat tu. Aku berjaya dalam pelajaran & mendapat kerja yang baik. Mak aku kata dia bangga dengan aku sebab jadi contoh kepada adik2 yang lain tapi amat kecewa dengan aku yang tak sembahyang dan tak mengamal cara hidup islam. Mak kata aku kufur nikmat.

       Sebenarnya bukan sekali aku mencuba untuk kembali ke "pangkal jalan" ni. Tapi ibarat kawan aku tu kata sekali terkejut dari tidur ni tak mungkin da boleh tidur balik. Kalau keluar islam masuk kristian ok lagi, boleh lagi diislamkan semula. Tapi bila dah TERSEDAR tanpa apa medium lain (seperti agama) tak mungkin boleh kembali tidur (kembali beragama) lagi, melainkan ada orang boleh reboot otak ni.
           Masa ramadhan 2011 aku puasa penuh, malam mengaji dan terawih 30 hari mengikuti ceramah2 agama disurau, pergi balik kerja dengar ceramah ustaz Idruz. Tapi tak berjaya. Aku pernah join tabligh seri petaling, tapi bila aku dgr hujah2 ketauhidan mereka ni aku tau ia tidak boleh diguna pakai bagi yang berfikir. Hadith2 pula bagiku kelakar kerana banyak element yang self contradictory mcm syaitan diikat dibulan puasa tapi ada juga orang buat perkara dosa. Kemudian disalahkan pula nafsu, tapi tanpa nafsu mcm mana manusia boleh hidup gembira disyurga? Maka diada-adakan pula nafsu jahat tak jahat. Quran pula bercanggah dengan sains seperti ayat sperm dari tulang rusuk, dan matahari muncul dari tanah berlumpur dilihat oleh zulkarnain (masa tu mereka tak paham tentang bumi ni bulat).
       Tapi aku masih lagi rasa cemburu pada mereka yang muslim ni, hidup mereka simple, percaya sungguh pada tuhan, mati dibangkitkan semula, sayang pada islam dan terus berharap hudud dilakusanakan di Malaysia. Kadang2 aku nak hidup macam tu mengikut arus tapi tak boleh. Hidup dua identiti macam aku ni kadang payah contohnya raya tahun 2013 aku join family baca yasin kat kubur arwah datuk aku semata2 nak diterima oleh mereka.
           Aku nak tanya apa pendapat korang? Adakah patut org macam kita berhijrah keluar negara? Sebab kita minoriti yang jika diketahui majoriti diangap sebagai sesat & hina. Kadang2 aku kena berlakon, contohnya bila balik kampung tak larat kene bebel oleh mak, aku pergi sembahyang jumaat walaupun bila dgr khutbah aku rase isinya adalah bertentangan dengan common sense dan logik akal (nak ketawa pun ada). Dan bila aku sembahyang, aku dengar imam menangis. Aku rasa alahai kesiannya kerana menangis takut kepada yang tiada.
       Tapi kadang2 aku cemburu dengan mereka ini yang merasakan dengan penuh yakin inilah kebenaran yang hakiki, hidup senang ikut je apa orang buat. Tapi ibarat kata kawan ku itu, sekali kau terjaga takkan boleh lagi tidur seperti mereka ini. "
 
Jawapan saya:

Perasaan ingin kembali 'tidur' dan terus berdelusi adalah satu fasa, saya kira biasa terjadi di kalangan yang datang dari background keluarga yang religious atau mereka yang sememangnya kuat agama. Saya sendiri mengalami fasa tersebut sewaktu mula-mula menjadi agnostik terhadap ketuhanan. Perasaan yang bercampur-baur dengan kemarahan kepada tuhan yang forsaken/membiarkan saya terumbang ambing dalam konflik akidah. Beribu doa saya pohon supaya tuhan memberi paling kurang satu 'sign' atau 'alamat' mengenai kebenaran islam namun tiada jawapan yang diterima. Pada masa itu juga timbul keinginan untuk kembali duduk dibawah tempurung agama dan menutup suis logika. Saya ingin hanyut dalam delusi agama kerana takut, risau & tidak bersedia menghadapi realiti.

Namun seperti yang saya katakan tadi, ianya adalah satu 'fasa'. Setelah terumbang-ambing dalam emosi dan perasaan, kini segala-galanya dah kembali normal. Saya tidak lagi memandang golongan yang masih 'tidur' itu sebagai golongan yang bertuah (lucky). Malah mereka adalah golongan manusia yang tidak merdeka mindanya dan terperangkap dalam kejahilan.

Dunia tercipta lebih kurang 4.6 billion tahun dahulu. Simple cells wujud 3.6 billion tahun dahulu. Pada 60 juta tahun dahulu, moyang primat mula mengenal hidup. Setelah berevolusi jutaan tahun, muncul spesis manusia moden pada 200 ribu tahun yang lampau. Kemudian pelbagai tamadun tercipta dari Mesopotamia, Mesir purba Parsi, Greek dan lain-lain datang dan pergi bersilih ganti.

Kemudian sampai zaman kita dimana rahsia langit dan bumi semakin jelas terungkap lantaran kemajuan Sains & teknologi. Kajian-kajian yang rapi dan menyeluruh giat diadakan dari hari ke hari. Jutaan saintis dari dahulu hingga sekarang dari pelbagai negara mengharungi cabaran demi memahami realiti.

Namun ciptaaan 3 agama samawi oleh manusia memberi impak yang besar dalam kehidupan insan. Agama ini mempunyai kebaikkan dan keburukkannya. Tetapi masalah yang ia timbulkan jauh lebih besar dari kebaikkannya. Minda manusia yang memeluk agama terperangkap dengan dogma ribuan tahun dahulu. Perangkap ini membuatkan kreativiti dan perasaan ingin tahu manusia tidak lagi bebas. Mereka seumpama banduan terpenjara dalam lokap agama, tidak berani membantah, dan tidak berani bersuara. Maka jadilah mereka ini golongan yang tertidur.

Kita beruntung lahir di zaman ini. Amat-amat beruntung. Jika kita lahir pada zaman Parameswara contohnya, tentu kita tidak kenal apa itu sains, big bang, evolusi, quantum dan pelbagai lagi. Berbillion manusia tidak mendapat peluang serta kekuatan untuk berfikiran secara bebas dan terbuka seperti apa yang kita perolehi sekarang. Ia perlu dihargainya seperti permata yang amat bernilai. Dan semestinya permata ini tidak akan dapat pada golongan yang tertidur.


Berhijrah ke negara luar adalah pilihan masing-masing. Jika kita rasa duduk di Malaysia memberi tekanan fizikal atau mental, lebih baik berpindah keluar. Seperti saya sudah biasa dengan kehidupan di Malaysia. Yup, kadang-kadang perlu berlakon. Tetapi itu saya anggap satu pengorbanan buat menenangkan perasaan ibubapa dan keluarga. Yang penting kita tahu siapa kita dan kita sedar kita adalah orang yang sudah terjaga. Kita adalah golongan yang berpijak di bumi nyata. Tidak mungkin kita nak menghina intelektual kita sendiri dengan  kembali menjadi golongan yang masih 'tidur'. Betul tak?  :)

.