Memaparkan catatan dengan label Luahan Hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Luahan Hati. Papar semua catatan

Rabu, 6 Ogos 2014

Sekilas Kata Setelah Menyepi.


Lama sangat tidak menulis. Jari rasa berat untuk menekan keyboard. Laptop telah saya buka, id dan password blog telah di keyed-in. Di luar tingkap hotel Boudl Al Fakhria ini, kelihatan beberapa kenderaan menuju destinasi masing-masing. Sesekali hawa panas menerpa memberi kesegaran dari kesejukan penghawa dingin.

Lama tidak menjenguk blog ini. Rupanya sudah beratus komen tersimpan menunggu approval untuk paparan. Saya cuba membaca satu persatu. Rata-rata komen bernada negatif. Rata-rata berunsur makian. Ada yang maki lantaran posting saya. Ada yang maki lantaran saya lambat publish komen mereka. Saya sudah approve kan sebahagian komen. Sebahagian besar mungkin saya delete. Tak larat nak review.

Mungkin post-post saya sebelum ini  agak keras bagi sesetengah pembaca sehingga mereka 'naik hantu' dalam komen-komen mereka. Maaf jika terasa. Saya cuma manusia yang mempunyai emosi. Kadang-kala penulisan saya dipengaruhi insiden-insiden sekeliling.

Buka TV, browsing internet, selak newspaper semuanya mengenai kebencian. Sudah bosan dengan kebencian sebenarnya. Kebencian antara agama, kebencian antara kaum, kebencian antara negara..

Mungkin kerana itu saya rasa berat untuk menulis. Bosan dengan kebencian golongan agama terhadap freethinker.  Sama juga bosan dengan kebencian freethinker terhadap golongan agama. Dalam forum dalam dan luar negara, sukar mencari minda-minda yang boleh berfikiran rational tanpa dipengaruhi apa-apa kefahaman peribadi. Tidak kiralah yang beragama atau tidak.

Perangkap ideologi (set of opinions or beliefs) adalah suatu perangkap yang paling kuat dalam psikologi manusia. Ianya tersembunyi hingga mereka yang terperangkap tidak merasa diri mereka telah dikurung dalam ideologi tersebut. Dalam kata lain mereka terperangkap dalam penjara minda. Hanya mereka yang cuba mempersoalkan ideologi sendiri mampu untuk melihat sekilas cahaya diluar dari penjara minda mereka.

Penjara minda yang sempit ini dianggap syurga bagi yang tidak mahu keluar. Setiap perbuatan & hala tuju fikiran mereka mengikut terma & syarat penjara minda. Jika tidak menyedari kewujudan penjara ini, memang sukar untuk keluar dari cengkamannya.

Ya, agama adalah satu penjara minda. Namun bukan hanya agama boleh menjadi penjara minda. Malah atheism juga boleh menjadi penjara bagi freethinker jika tak kena caranya. Buat rakan-rakan atheis dan saya sendiri, ingatlah atheism bukan satu persatuan atau agama. Atheism adalah neutral. So let's treat it like one.

Agama adalah hak peribadi. Saya tidak nafikan. Cuma tidak perlu orang beragama merasakan diri mereka mulia dan memandang sinis kepada yang bebas dari agama. Yang bebas dari agama juga perlu begitu. Biar kita sibukkan diri dengan perkara yang lebih bermakna dari bergelumang dengan perdebatan melampau (provokasi murahan) tidak berpenghujung.

Saya menyokong kebebasan minda, saya menyokong pemikiran positif, saya menyokong hak beragama atau tidak beragama, saya menyokong keharmonian, saya menyokong keamanan dan saya menyokong hak bersuara serta kebebasan memberi pendapat.

------------------------------

Nota: Jawapan terkumpul bagi soalan yang bertalu-talu saya dapat: 
  • Yup saya masih bernafas.
  • Yup masih lagi bebas.
  • Yup masih lagi atheist ;)
  • Sambungan PMA? mungkin tiada kot.. hehe

PS: Life is too short to spend it with people who suck the life out of you. Be happy live your life.
  

Selasa, 29 Oktober 2013

Ketidaksempurnaan.


Kehidupan ini tidak sempurna.
Diri ini tidak sempurna.
Akal ini tidak sempurna.
Manusia berjuang dalam ketidaksempurnaan.

Ya, tiada kesempurnaan. Yang ada hanya siri kerambangan situasi. Kadang-kala kebetulan-kebetulan yang menakjubkan, bersama turun naik emosi dan kefahaman.

Kehidupan ini tidak sempurna. Namun inilah realiti yang nyata. Pilihan ditangan sendiri. Bukan pada entiti rabbani mahupun dewa sakti.

Ketidaksempurnaan ini acap kali menganugerahkan pilihan. Pilihan antara suka dan duka. Pilihan antara benci dan toleransi. Pilihan antara mahu berfikir & atau sekadar duduk berserah kepada pelbagai dalih.
Aku tidak sempurna.
Engkau tidak sempurna.
Dalam hal ini kita tiada beza.
Menyulam kehidupan dalam ketidaksempurnaan yang sama.


.

Jumaat, 25 Oktober 2013

Cepatnya Terasa Hati.


Orang agama adalah golongan paling cepat terasa hati. Tidak perlu berbahas tentang ketuhanan atau keagamaan untuk membuatkan mereka panas hati. Sekadar berkata "Aku keluar dari Islam" pun sudah cukup untuk mereka mengelejat bagaikan ulat nangka.

"Aku tidak percaya al-Quran" kata seorang ex-Muslim. Orang Islam bangkit mengutuk dan memaki hamun.

"Aku tidak percaya kepada hari akhirat" kata seorang lagi ex-Muslim. Orang Islam bangkit dan memberi kutukan azab neraka.

"Aku tidak percaya kepada kenabian Muhammad" kata ex-Muslim lagi. Orang Islam bangkit dan mengamuk hingga hilang budi pekerti.

Apakah orang agama mampu mendengar kata-kata non-Muslim yang berlainan pendapat? Ya & Tidak. Ya, mereka mampu mendengar jika orang yang berlainan pendapat itu sememangnya non-Muslim sejak lahir. Tidak, mereka tidak mampu menghadapi pendapat dari ex-Muslim yang keluar dari agama.

Jika hanya berlainan pendapat tentang keyakinan pun sudah dimaki hamun, maka alang-alang biarlah aku menulis tentang masalah & kepincangan dalam agama ini. Sama juga akan dimaki hamun. Namun kali ini aku dimaki hamun bukan kerana siapa aku, tetapi kerana penulisan aku yang mengungkap rahsia hitam fahaman mereka.

Jangan salah faham, aku bukannya membahaskan peribadi mereka. Aku cuma mempersoalkan ideologi yang mereka yakini. Ah, tapi siapa yang peduli. Mereka tetap akan terasa hati. Nasrani menggunakan perkataan 'Allah' mereka terasa hati. Muslimah bergambar dengan anjing pun mereka tersinggung. Melihat wanita bertudung kebetulan seiras tudung seorang 'nun' pun mereka jadikan isu.

Dunia semakin berubah. Tiada ideologi yang kebal dari analisa dan kritikan manusia. Dengan kritikan dan pengupasan intelektual dapat mengelakkan dari terbentuknya pemikiran extremist & fanaticism mana-mana ideologi. Tidak seperti zaman dahulu yang menganggap ia satu taboo dan boleh dihukum. 

Namun kebanyakkan orang beragama tidak mampu menerima realiti perubahan ini. Lantaran itu kita melihat reaksi mereka cuba membukam dunia dengan merengek dijalanan, beraksi seolah-olah korban situasi, seolah-olah mangsa keadaan, kemudian membakar bendera. Adakah ia membawa perbezaan? Tidak. Adakah ia membawa kebaikan? Tidak. Adakah dunia berubah mengikut apa yang mereka mahukan? Tidak.

Cuma apa yang mereka capai hanya imej agama yang semakin buruk, tanggapan yang semakin negatif dan kebencian yang semakin meningkat.

.

Sabtu, 5 Oktober 2013

Aku Menulis Kerana Apa? Hmm..

Aku menulis di dalam blog yang bergenre taboo dan mempunyai target pembaca minoriti ini bukan untuk menghina orang beragama. Kritikan dan ulasan aku adalah terhadap ideologi lama yang dipegang oleh bangsa aku, bangsa Melayu. Pada masa yang sama aku berharap penulisan aku yang sedikit keras terhadap agama dapat memberi satu anjakan persepsi dan provokasi terhadap pemikiran jumud bangsa aku. 

   Ah, aku tidak peduli jika mereka menjadi atheist atau tidak. Apa yang penting mereka dapat memahami realiti sebenar dunia. Mengapa Islam dikaitkan dengan keganasan? Mengapa masyarakat non-Muslim membenci negara Islam timur tengah? Mengapa Muslim semakin mundur dan mundur dalam sains & teknologi? Mengapa remaja Melayu Muslim mengalami krisis dalam moral dan identiti? Itu semua soalan-soalan yang aku ingin tanam kepada benak orang kita dan semoga mereka dapat mencari sendiri jawapannya dari blog ini.

Aku terbaca di sebuah website soal-jawab agama:

 

   Aku ketawa kecil bila penulis itu mendakwa aku mahu menghapuskan Islam. Lebih lucu lagi bila dia mengatakan usaha aku menulis di blog ini hanya membantu menyebarkan Islam. Disambung dengan ekspresi tipikal mereka "Allah Akbar!". Seorang lagi Muslim dengan akal dangkal dan kata-kata yang berakar dari minda berdelusi.

   Aku tiada masalah dengan Islam. Bagiku ia sama seperti budaya manusia yang diturunkan dari generasi ke generasi. Bagaimanapun, ajaran berusia 1400 tahun ini mempunyai potensi menakutkan jika ia diamalkan secara fanatik dan egois tanpa memandang realiti kehidupan zaman ini. Contohnya keganasan atas nama Islam di pelbagai negara (antara yang terbaru: 40 pelajar maut ditembak tentera Islamis di Negeria), pembunuhan kaum Kristian di Syria, pengeboman berani mati (terbaru sekali kelmarin di Iraq, 60 orang maut), penafian hak wanita, perkahwinan bawah umur di Yamen, dan banyak lagi. Hanya mereka yang dalam keadaan denial sahaja tidak nampak perkara ini.

   Muslim di nusantara seumpama robot-robot yang menafikan itu semua berlaku. Seolah-olah otak mereka telah dirakam "Dunia masih aman, Islam agama kedamaian, Kerosakan di dunia berpunca dari orang kafir". Aku pernah menjadi salah seorang 'robot' seperti mereka. Lantaran itulah aku menguatkan hati untuk membuat blog ini bagi membangunkan mereka dari terus tidur dalam penafian.

Oh ya, website di atas itu mengatakan tanpa sedar aku membantu menyebarkan Islam. Biarlah aku jawab dengan screenshot di bawah:

 

Kemudian beberapa hari selepas itu, kami ber'PM sekali lagi.

PS: Moga sahabat semua bebas dari dogma-dogma pemikiran yang sempit dan terpesong dari realiti. Sentiasa kita menghargai setiap hela nafas kita di dunia ini dan menikmati kehidupan yang sebenar-benarnya. Have a good weekend!

.

Jumaat, 4 Oktober 2013

Pengadilan Aisha Ibrahim Duhulow; Kemuncak kecanduan agama yang membenam nilai kemanusiaan.


Ini kisah lama berlaku di Kismayo, selatan Somalia, Afrika. Kisah 5-6 tahun yang lepas. Kisah dimana syariat menjadi undang-undang utama. Agama bukan lagi ditegakkan dengan lisan dan pena. Malah ia ditegakkan dengan senjata api dan bom tangan. Ini adalah kisah seorang gadis bernama Aisha Ibrahim Duhulow yang menjadi mangsa kecanduan agama penganut-penganutnya..

Aisha Ibrahim Duhulow, seorang gadis berusia 13 tahun telah dirogol oleh 3 orang lelaki. Dia dan keluarganya segera berjumpa dengan pemerintah wilayah itu iaitu kumpulan Islamis Al-Shabab untuk membuat aduan. Setelah ketua kumpulan itu mendengar aduan Aisha, dia segera menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada gadis itu. Manakala tugas mencari & menghukum perogol-perogol itu tidak pula menjadi keutamaan bagi mereka.

Dalam agama Islam sememangnya tiada istilah rogol. Ia tidak disebut langsung dalam al-Quran walau ia adalah satu jenayah terbesar di dunia sejak zaman berzaman. Yang ada hanya hukuman bagi zina. Maka dalam zina, yang bersalah adalah kedua-duanya iaitu si lelaki dan si perempuan. Oleh itu jika ada wanita yang mengadu dirogol, maka ia dianggap sebagai pengakuan (verbal confession) bahawa dia telah berzina.

Kumpulan al-Shabab menarik gadis itu ke stadium bola. Pengumuman dibuat kepada penduduk-penduduk tempatan bahawa pelaksanaan hukum rejam akan dilakukan. Semua diwajibkan hadir.

Beberapa activist hak asasi manusia datang melihat namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa berhadapan dengan pihak extremist Islam yang lengkap bersenjata. Mereka melihat tangisan dan teriakkan mangsa dan keluarganya. Bapa Aisha beberapa kali menerangkan yang anaknya tidak bersalah dan masih dibawah umur. Gadis yang berumur 13 tahun itu dilaporkan oleh kumpulan Al-Shabab sebagai wanita berumur 23 tahun berzina dengan 3 lelaki. Mereka juga memberitahu media kemudiannya bahawa Aisha Ibrahim Duhulow mengaku kesalahannya dan dengan rela hati menerima hukuman tersebut.

"Jangan! Jangan! Tolong jangan bawa saya ke situ! Jangan bunuh saya! Jangan bunuh saya!" itu adalah jeritan gadis tersebut, diberitahu sendiri kepada media oleh mereka yang berada berdekatan mangsa.

Aisha Ibrahim Duhulow kemudian diheret dan dimasukkan ke dalam sebuah lubang di tengah stadium hingga terbenam separuh badan. Stadium bola sepak itu mula dibanjiri lebih 1000 penduduk Kismayo dan kawasan sekitar. Dalam kekalutan tersebut, rayuan gadis ini langsung tidak dipedulikan.

50 orang tampil untuk menjadi perejam. Rayuan si gadis hilang berganti bunyi batu-batu dilempar dari seluruh arah. Selepas 10 minit, Aisha tidak lagi bergerak. Mereka mengeluarkannya dari lubang dan mengarahkan 2 petugas medic untuk memeriksa samada dia masih hidup atau sudah mati. Petugas perubatan mengatakan si gadis masih bernyawa. Tanpa berlengah, Aisha ditanam semula dan lontaran batu bermula sekali lagi dengan lebih kejam. Ianya berlangsung sehinggalah mereka pasti yang Aisha meninggal dunia.

Bukan semua bersetuju dengan tindakan al-Shabab. Ada sekumpulan penduduk yang cuba membantah. Pihak militan al-Shabab telah melepaskan tembakan sehingga melukakan seorang lelaki dan membunuh seorang kanak-kanak berusia 8 tahun. Pihak al-Shabab kemudiannya telah memohon maaf kepada mangsa dan keluarga mangsa atas tembakan tersebut.

"Kami akan melakukan apa sahaja yang Allah arahkan kepada kami" tegas kumpulan Al-Shabab sebelum menyuruh penduduk bersurai.

 

PS: Sebenarnya amat berat untuk aku menulis kisah ini. Beberapa kali aku bertangguh lantaran perasaan geram, marah, kecewa, sedih yang membuat aku hilang kata-kata. Banyak kisah-kisah sebegini berlaku di seluruh dunia terutama negara-negara Islam. Benar, kezaliman berlaku dimana-mana, namun kisah-kisah seperti di atas adalah bukti kelemahan ajaran agama sebagai rujukan utama sesebuah negara atau pemerintahan. Muslim terutama di nusantara akan mengatakan ia adalah salah penganut bukan salah agama. Tetapi jika agama yang dikatakan paling sempurna pun gagal mendidik jiwa penganut-penganut tegarnya, maka bukankah itu mencerminkan kecacatan agama? There has got to be something wrong with the ideology for it to happen so often.

   Negara Islam manakah yang telah menerapkan 100% hukum syariah tidak berlaku pergolakan? Malah sejurus selepas kematian nabi Muhammad, seluruh masyarakat Islam porak peranda. Golongan murtad bertambah dengan pesat hingga khalifah pertama terpaksa mengistiharkan perang. Khalifah kedua dan ketiga mati dibunuh. Masyarakat Islam kemudian berpecah antara pengikut khalifah keempat, Ali (menantu nabi) dan Muawiyah (sahabat nabi). Mereka saling berbunuhan. Belum lagi mengenai perang Jamal antara isteri nabi (Aisyah) dan Ali menantu nabi. Seolah-olah ajaran Islam mengenai kasih sayang hilang bersama wafatnya nabi Muhammad.

   Mungkin hukum syariat boleh dijalankan dengan cemerlang pada 1400 tahun dahulu. Tetapi masa berlalu dan masyarakat mula berubah. Pemikiran semakin tinggi dan jauh. Moraliti telah beranjak ke suatu paradigma yang lebih global, lebih sesuai buat zaman tersebut. Wanita dan lelaki berdiri di aras yang sama, saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Undang-undang tidak lagi barbaric dan sadistik seperti hukuman rejam atau kerat anggota badan. Pencapaian ilmu sains telah mencapai tahap memberangsangkan berbeza dengan zaman-zaman sebelumnya. Ya, ianya tidak sempurna dan masih berhadapan dengan pelbagai masalah. Namun ia adalah praktikal dan sesuai dengan kehendak zaman. Malah ia boleh diperbaiki dan diperbaiki lagi oleh setiap generasi yang mendatang.


Wan Izzuddin, 3.38 am.

Khamis, 26 September 2013

Jalan Para Atheist.


Kenapa kami memilih jalan ini? Kerana ia adalah jalan yang bebas dari penipuan dan penindasan rasionaliti. Ia bukannya satu kepercayaan atau suatu agama. Ia adalah keadaan asal manusia, default setup, tanpa cengkaman idea-idea karut dan muntahan minda puak arab ribuan tahun dahulu.

Kami adalah golongan manusia yang memilih Sains dan meninggalkan ajaran kitab kuno yang banyak kesilapan sana sini. Bukan kami bermaksud Sains bebas dari silap. Sains hanya ilmu pengetahuan. Sains mempunyai kelemahan. Tetapi kesanggupan warga Sains untuk tunduk kepada penemuan baru dan teori yang lebih kukuh menunjukkan Sains sentiasa dalam keadaan diperbaiki dan dipertingkatkan.

Tidak seperti agama, segala-galanya rigid, kaku, jumud dan beku hingga pelbagai konflik terjadi apabila agama bertembung dengan realiti. Mana mungkin ketamadunan baru yang berteraskan Sains dan teknologi cuba dibentuk mengikut acuan masyarakat padang pasir 1400 tahun dahulu. Hasilnya hanya kepincangan moral, penindasan wanita, penafian hak minoriti, pemberontakan jiwa serta penghinaan terhadap intelektual manusia.


.

Khamis, 12 September 2013

Gunung di Himalaya.

Petang-petang sebegini waktu aku merehatkan fikiran. Ditemani secawan kopi Hazelnut panas 3-in-1, sebungkus biskut lemon dan sebuah laptop. Duduk di taman permainan yang dihiasi lanskap tasik dan bunga teratai. Terdengar nyanyian burung dikejauhan. Matahari sedikit redup ditutupi awan sedikit mendung. Angin sesekali bertiup gemalai mengeringkan keringat di wajah.

Sekali-sekala melintas kanak-kanak berlari berkejaran tanpa kerungsingan diminda mereka. Nun di tepi sebuah glonsor pula seekor kucing sedang asyik mengendap burung-burung pipit yang turun mencari makanan di tanah. Rimbunan buluh di tepian tasik beralun-alun apabila ditiup angin. Kemudian menjadi pegun bila angin terhenti. Semuanya bergerak dan pegun mengikut rentak masing-masing.

Ya, semuanya yang hidup bergerak walau pada zahir ianya diam terpaku. Seperti rambut yang tampak diam tapi ia tetap bergerak memanjang sehingga 9 inci setiap tahun. Kuku manusia pula memanjang secara purata 3 milimeter setiap bulan. Rumput-rumput boleh bergerak membesar 2 inci setiap minggu menghala ke langit. Namun pergerakkan itu tidak mampu dilihat oleh mata kasar.


Dulu keyakinan aku terhadap ketuhanan seampuh gunung di Himalaya.. Pegun ia bagaikan dipaku ketanah. Tidak berganjak gunung keimanan walau berhujah dengan seribu kuffar, fikirku pada masa itu. Jiwa teguh di jalan hakikat dan jasad berpadu dalam makrifah & syahadah. Bagaikan gunung teguh bersama tariq agama.

Ya, aku sangka gunung itu pegun dan teguh. Rupanya kini hancur dimamah realiti. Bagaikan bergeraknya rambut, significant selepas beredarnya waktu. Adakah kau mampu memahaminya sahabat?

Hidup ini terlalu singkat untuk kau bermain dalam delusi agama. Kemerdekaan minda jauhnya hanya selangkah kaki. Persoalannya adakah kau mahu bergerak? Tidak apa jika geraknya seakan rambut, atau kuku, atau rumput. Yang penting kamu mahu bergerak.

Aku? Sedang menghirup kopi panas. Sesekali mencicip biskut lemon. Ah, hidup ini indah.

.

Jumaat, 6 September 2013

Jangan dilayan.

 

Kebelakangan ini banyak komen di blog ini yang datang dari orang beragama berbaur kesombongan, kejahilan, dan sindiran kasar. Mereka ini sekadar mahu menghentam kita golongan Melayu atheist/freethinker/agnostic dengan hujah-hujah yang menyeleweng serta kiasan yang kosong tidak berisi. Apabila mereka tidak dapat mematahkan hujah rasional kita, mereka mula menggunakan taktik kotor dengan merendah-rendahkan intelektual golongan atheist.

Taktik tipikal yang selalu digunakan adalah dengan mengutuk keluarga kita sebagai beruk, menuduh atheist boleh bersetubuh dengan mak bapak sendiri kerana tiada agama, menuduh ilmu atheist Melayu hanya copy paste dari internet, mengatakan atheist Melayu cuba mengikut trend atheist barat, mengisytiharkan bahawa golongan kita akan diazab seteruk-teruknya bila mati kelak dan sebagainya.

Tanpa mereka sedar, mereka hanya menzahirkan kejahilan mereka mengenai atheism. Pendekatan mereka terhadap atheism seolah-olah ia sejenis ideologi atau sejenis agama. Sedangkan atheism itu hanya satu definasi bahawa kami tidak percaya pada kewujudan tuhan lantaran tiada bukti-bukti yang kukuh! Itu sahaja.

Komen-komen mereka juga menunjukkan wajah sebenar kemunafikan orang beragama. Penggunaan kata-kata yang kotor seperti lubang tahi, ekor bergelumang tahi, tulisan penuh tahi dan sebagainya mencerminkan peribadi mereka (saya pun tak tahu kenapa golongan mereka suka sangat dengan perkataan 'tahi').

Seumpama air yang dituang penuh dengan debu, maka sudah tentu dalam teko air itu penuh dengan debu. Jika tulisan mereka penuh perkataan tahi, maka agak-agaknya apakah yang penuh dalam otak dan jiwa mereka?

Mulai sekarang saya akan terus delete komen mereka tanpa kompromi. Tak perlu kita merendahkan tahap intelektual kita setaraf pemikiran beku mereka. Just ignore them. Otak mereka yang tertutup akan tetap tertutup selagi mereka tidak mahu berfikir luar dari dogma agama.

.

Isnin, 2 September 2013

Perasaan & Spritualiti Seorang Atheist.

Bagaimana perasaan seorang yang keluar dari agama dan memilih jalan atheism? Dimana tercampaknya spiritualiti yang telah dipupuk sejak lahir dalam suasana agama? Soalan yang ditanya oleh bro X and the jihad geng. Aku masih lagi terkesima dengan skill kalian menjejak aku. Terima kasih atas profesionaliti dan perbincangan yang damai semalam. Namun aku berharap kalian berhenti disitu kerana maklumat peribadi seseorang adalah milik mereka sendiri. Jangan melampaui hak privacy insan lain hanya atas nama agama.


Perasaan aku selepas memilih jalan Atheism? Tiada satu jawapan yang solid. Perasaan bergolak dalam fasa tertentu. Emosi mencari tempatnya untuk bermukim secara berperingkat. Namun selepas ribut, pasti langit akan kembali tenang.

Dahulu sewaktu mula-mula aku mula melihat kepalsuan agama, aku jadi seorang yang pemarah. Marah kepada diri, marah kepada keluarga, marah kepada masyarakat, dan tentunya marah kepada tuhan. Tentulah marah jika sesuatu yang telah menjadi darah daging, suatu obsessi, suatu kecintaan rupanya hanya khayalan semata-mata.

Marah kepada diri sendiri kerana terlalu bodoh untuk memahaminya lebih awal. Marah kepada keluarga yang menyuap aku dengan mitos sejak lahir ke dunia menyebabkan aku tiada pilihan lain melainkan yakin dan taat.. Marah kepada kepada masyarakat yang begitu taksub terhadap pegangan mereka hingga tiada keberanian bagi jiwa-jiwa minoriti menongkah-arus. Dan marah kepada 'tuhan' kerana segala ketaatan dan perasaan cinta yang telah dicurahkan selama ini hanya ilusi permainan minda.
  
Sebab itu kamu dapat lihat ramai antara kami yang meggunakan 'kemarahan' sebagai intonasi utama dalam ekspresi diri. Disinilah timbul tuduhan Islamophobia kepada kami. Pantang disebut tentang tuhan dan agama, pasti melenting para atheist.

 

Mereka para atheist/ex-Muslim melenting bukan kerana Islamphobia. Kemarahan ini datang dari pelbagai sebab seperti tekanan tidak dapat mengekspresikan diri secara public, ancaman undang-undang, tekanan masyarakat, dan lain-lain. Lebih-lebih lagi mereka yang dibuang keluarga, saudara dan kawan-kawan lantaran berubah keyakinan. Belum lagi caci maki jiran-jiran dan orang yang langsung tiada kena mengena. Seolah-olah mereka tiba-tiba bertukar menjadi makhluk asing yang datang dari planet jauh.

Jika dahulu mereka kanak-kanak yang selalu memanjat pokok manga di halaman rumah sambil bersorak-sorak umpama tarzan, maka sekarang mereka tetap yang itu juga. 

Jika dahulu mereka anak yang sentiasa memandang kepada ayah dan ibu dengan perasaan kasih sayang, maka sekarang mereka tetap yang itu juga.

Jika dahulu mereka remaja yang bermandi-manda di tali air dengan rakan-rakan kampung dengan hilai ketawa, maka sekarang mereka tetap yang itu juga.

Kamu mengenal mereka sejak dahulu dan sekarang kamu beriaksi seolah-olah mereka orang asing? Cuba letak dirimu ditempat mereka dan rasa apa yang mereka rasa. Sedih, pilu, marah? Akhirnya 'marah' menjadi lebih dominan kerana ia dapat menutup segala sakit yang datang dari kesedihan dan kepiluan.

Kamu tentu pernah membaca kisah-kisah para mualaf (baru memeluk Islam), bagaimana mereka bermula, dibuang keluarga, dipulau masyarakat mereka, dipandang hina oleh bangsa mereka sendiri. Begitu juga dengan golongan ex-Muslim. Sama sahaja, just another side of a coin.

Ada keluarga asal mualaf yang hati mereka menjadi sejuk dan menerima mereka kembali setelah tahun berlalu. Namun ini tidak berlaku kepada golongan ex-Muslim kerana tiada keluarga atau masyarakat Muslim yang akan menerima mereka semula. Pada orang Islam, mereka sudah menjadi NAJIS.
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis... (At-Taubah:28)

 

Sekarang kemarahan yang tinggi menjulang telah padam dari hati aku. Mungkin datang dari 'masa' yang mematangkan fikiran. Mungkin juga dari minda yang dambakan ketenangan.

Aku sudah maafkan diri sendiri atas kebekuan mindaku dahulu. Aku maafkan keluargaku kerana mereka juga mangsa kepada ideologi yang tidak dinafikan paling berpengaruh di dunia. Aku maafkan masyarakat atas kebencian mereka, Dahulu aku pun salah seorang dari mereka dan aku pernah berkongsi kebencian yang sama. Aku maafkan tuhan? Persoalan yang tidak lagi relevan lantaran soalannya tidak lagi rasional.

Kini mindaku lebih tenang dan ringan lantaran tiada lagi dogma-dogma agama menghentam aku dengan sifat bipolar tuhan yang sekejap maha penyayang dan sekejap menjadi psychopath yang mengancam makhluk-makhluk sekecil debu ini dengan seksaan-seksaan melampau batas.

Tiada lagi hukum-hakam ciptaan masyarakat arab kuno menjadi panduan hidupku. Dengan akal dan minda yang sihat, aku tahu membezakan mana yang baik dan buruk. Aku membantu insan lain tanpa membayangkan ganjaran syurga. Aku menolong warga tua melintas jalan tak kiralah dia seorang penganut Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain tanpa membayangkan mereka akan disiksa diakhirat kelak. Aku dapat bergaul dengan ikhlas tanpa membezakan warna kulit, merasai pelbagai keunikkan makanan tanpa mengira latar-belakang tukang masaknya, mengalami pelbagai pengalaman tanpa hambatan 5 waktu penyembahan. Dan setiap kali aku memberi senyuman, ianya adalah atas sebab budi pekerti, bukannya sebab ianya satu 'sedekah'.

Jiwa aku kini lebih tenang apabila melihat alam semesta. Tiada lagi hambatan pemikiran tentang kiamat, akhir zaman, dan doktrin kehancuran bumi semakin dekat dan lain-lain.

Aku takjub terhadap keluasan langit dan kompleksiti bumi. Aku tertarik dengan pelbagai teori mengenai permulaan alam. Aku terhibur dengan pelbagai penemuan quantum fizik, biologi, astronomi, dan ilmuan Sains yang sentiasa terbuka untuk perdebatan (yang pastinya tidak berakhir dengan pertumpahan darah). Jika ditanya kemana tercampaknya spritualiti aku yang dulu, maka aku akan jawab disinilah tempatnya ia berbakti sekarang ini.

Adakah atheist tiada masalah? Selagi kita ini manusia sudah tentu ada masalahnya. Cuma aku lebih suka memilih fikiran yang positif dan emosi yang positif. Masalah datang dan pergi, sama sahaja bagi yang tidak beragama atau yang beragama, atau bagi yang berdoa dan tidak berdoa. Walau berdoa kepada dewa sehebat Hanuman atau segagah dewa Thor sekalipun tidak akan menghilangkan masalah yang ada. Jika masalah timbul, hadapailah ia dengan keberanian dan kebijaksanaan. 

Untuk apa aku menulis di blog ini? Adakah untuk dakwah; menarik orang menjadi atheist? (tanya seorang pembaca yang membuat aku LOL sendirian). Aku tidak peduli seseorang itu memilih jalan apapun dalam hidup mereka kerana itu hak mereka. Asalkan mereka tidak memaksa orang menghormati hak mereka sedangkan mereka memijak hak orang lain.

PS: Di atas hanya sekadar pendapat aku secara individu, tidak melambangkan pendapat para atheist atau non-Muslim secara umum. Terima kasih.
“The only way that we can live, is if we grow. The only way that we can grow is if we change. The only way that we can change is if we learn. The only way we can learn is if we are exposed. And the only way that we can become exposed is if we throw ourselves out into the open. Do it. Throw yourself.”
― C. JoyBell C.

.

Isnin, 26 Ogos 2013

Dunia Dari Mata Yang Melihat.


Realiti manusia boleh hidup gembira dan ceria antara satu sama lain. Realiti manusia boleh hidup aman tanpa perlu rasa benci. Tetapi lantaran perbezaan keyakinan konflik berlaku, keganasan tercipta, dan prajudis bermaharajalela.

Aku yang terpencil ini hanya mampu menulis sambil berharap. Moga peperangan, keganasan, dan kebencian semakin terhapus dari muka bumi. Moga semakin ramai manusia dapat membuka minda serta melihat dunia dari perspektif yang lebih luas dan murni.

.

Selasa, 20 Ogos 2013

Mindaku Ingin Bebas Berdiri.

Berdialog dengan sahabat yang beragama tidak kiralah Muslim atau Kristian, kadang-kala membuat saya tergamam. Bukan tergamam kerana kehabisan hujah, tetapi tergamam melihat betapa kuatnya mereka berpegang kepada ayat-ayat dari kitab zaman dahulu-kala. Mereka menolak logik akal dan mereka menutup enjin pemikiran semata-mata ingin membenarkan apa yang tertulis dalam kitab.

Bukan itu sahaja, malah mereka mengajak saya sama-sama yakin membabi-buta segala ajaran agama yang telah expired ribuan tahun itu. Pendek-kata buang akal fikiran dan terima tanpa persoalan.

Jika kita menerima sesuatu info tanpa berfikir, maka apa bezanya kita dengan bayi yang baru melihat dunia?

Jika kita mematuhi sesuatu arahan tanpa berfikir, apa beza kita dengan haiwan peliharaan di rumah?

Jika kita disuruh mengikuti, patuh, tanpa menyoal dan membantah, apa bezanya kita dengan tahanan perang yang tidak punya hak keatas diri sendiri?

Kehebatan manusia adalah perasaan ingin tahu yang tinggi serta kebolehan mengkaji dan mempersoalkan sesuatu perkara sehingga keakar umbi.

Namun bila kehebatan manusia ini dihambat dan dikurung dalam sangkar agama, yang tinggal hanya  kepatuhan tanpa persoalan. Para penganutnya ditakut-takutkan dengan ancaman terbatalnya akidah, jatuh syirik dan jatuh kafir jika tersilap mengajukan soalan.

Ini membuatkan mereka lebih suka berdiam diri. Seperti mana lopak menjadi kotor kerana airnya tidak mengalir, begitu juga dengan minda. Dan akhirnya lopak minda mereka menjadi beku, tersadai di kutub kejumudan, ketaksuban dan fanatisme.

Mindaku ingin bebas berdiri,
Bebas memilih jalan kebenaran,
Jalan yang berturabkan bukti-bukti.
Bukan jalan yang dilapisi mimpi,
Bukan jalan mengalir arak suci,
Bukan jalan yang dibarisi bidadari,
Bukan jalan yang diancam azab dan api.

Mindaku ingin bebas berdiri,
Bukan sebagai hamba illusi,
Tetapi sebagai insan realiti.
 
Wan Izzuddin: Aug 13.
.

Selasa, 13 Ogos 2013

Atheism dan Melayu Atheist.

Wahai sahabat-sahabat yang bertanya, fahamilah:

Atheism bukan sejenis agama,
Ia bukan sebuah organisasi,
Ia bukan ciptaan Illuminati,
Ia bukan propaganda Yahudi,
Malah ia bukan diketuai Dajjal atau mana-mana devilish entiti.

Atheism adalah ringkas, jelas dan simple.

Atheism bukan mengenai kepercayaaan. Atheism adalah ketidak percayaan.
Atheism bukan mengenai keyakinan. Atheism adalah mengenai keraguan....

Kami tidak percaya tentang tuhan & segala sifat-sifatnya seperti yang digembar-gemburkan oleh dogma agama. Kami meletakkan keraguan kepada kewujudan tuhan atas kekurangan bukti yang diberi oleh agama.

Para Atheist itu pula bermacam-ragam. Ada yang lancang mulutnya dan ada pula yang sopan budi bicaranya. Ada yang hatinya penuh dengan dendam kesumat. Namun ada pula yang di dadanya penuh dengan harapan kedamaian & harmoni. Ada yang jahil tentang agama, ada juga yang mempunyai ilmu agama yang cukup tinggi.

Para Atheist adalah individu, memilih untuk keluar dari kepompong agama. Dan sebagai individu juga, mereka mempunyai sebab masing-masing. Lantaran keindividuan inilah kita tidak pernah mendengar Suicide Boomer atau peperangan/pembunuhan terancang atas nama tuhan dari kalangan Atheist

Dan aku Atheist Melayu adalah satu lagi individu antara jutaan yang lain. Aku adalah jasad picisan yang insignificant bagaikan debu-debu. Berbanding dengan luasnya semesta, aku hanya sifar.

Namun aku berasa bertuah untuk hidup di alam yang sementara ini. Kebanyakkan dari kita tidak sempat menyentuh kehidupan dan mati sebagai seekor sperma yang tewas dalam perlumbaan persenyawaan.



Kehidupan Atheist di Malaysia? Sedikit sukar dan sedikit tertekan. Namun alah bisa tegal biasa. Mungkin ramai Atheist Malaysia tidak bersependapat dengan aku bila aku katakan Malaysia adalah suatu negara yang indah dan unik. Negara ini tidak ditambat dengan agama sepenuhnya, tetapi tidak juga sepenuhnya sekular. Ada sebilangan rakyatnya yang mahu menjadikan Malaysia ini negara Islam sepenuhnya. Tetapi mereka tidak mungkin mampu melawan realiti. Bumi Malaysia ini terdiri dari berbilang kaum serta agama. Faktor itu telah menjadi pagar kukuh menghalang mana-mana agama menjadi diktator mutlak negara ini seperti yang berlaku pada kerajaan Iran dan Taliban.

Adakah aku mahu mengubah kesultanan Malaysia?

Tidak! Seperti mana aku tidak mahu sistem monarki di Britain atau di Thailand dijatuhkan. Pada pandangan aku itu semua adalah keunikan sesuatu negara. Unik India kerana Taj Mahal, unik China kerana Great Wall of China, unik Rio de Janeiro kerana patung Jesus yang tinggi di atas gunung Corcovado, unik Mesir kerana piramid dan lain-lain. Agama bagiku adalah cebisan sejarah, sama seperti budaya, sama seperti tamadun, sama seperti adat-istiadat dan lingua /bahasa. Ianya suatu yang amat indah bagi mereka yang melihat sesuatu dari pelbagai perspektif.

Agama hanya menjadi bahaya apabila ia dimanipulasi untuk perperangan dan penumpahan darah, digunakan bagi merendahkan martabat dan tahap intelektual kaum wanita atau kaum minoriti,  dipergunakan untuk tujuan politik, diperkudakan untuk menunding jari siapa yang akan masuk syurga dan siapa yang akan masuk neraka. Bagi aku selagi agama tidak menguasai sesuatu negara secara mutlak, ia masih lagi selamat untuk golongan seperti kami.

Kebanyakkan kami tiada masalah dengan agama dan penganutnya. Rata-rata kami mempunyai ibubapa Muslim, saudara-mara Muslim serta rakan-rakan Muslim.Yang menjadi kesulitan apabila hak kami sebagai Atheist dinafikan, kami dicemuh dengan pelbagai tomahan, hingga mereka yang dahulunya dianggap kawan dan saudara memandang kami seumpama penjenayah.

Penjenayah? Sememangnya murtad itu suatu jenayah di Malaysia. Tiada kesepakatan mengenai hukuman para murtad. Di antaranya denda sehingga RM5,000.00, penjara maksima 3 tahun atau sebatan sebanyak 6 kali sebatan. Ada juga negeri yang menahan mandatori para murtad ke Pusat Pemulihan Aqidah sehingga 36 bulan.

Geram? Marah? Benci?

Tarik nafas panjang...

Hidup mesti diteruskan. Aku memandang positif terhadap kehidupan. Malah aku juga menyeru kepada semua pelawat yang membaca warkah ini supaya menanam minda yang positif. Hidup kita ini terlalu singkat untuk kita berminda negatif dan berjiwa tertekan.

.

Rabu, 7 Ogos 2013

Selamat Hari Raya!

Sahabat-sahabatku yang beragama Islam. Segala yang tertulis dalam blog ini bukanlah dengan niat untuk mengeji. Ianya bertujuan menjadi pemangkin pemikiran kritis dan rational bangsa Melayu. 

Selamat Hari Raya buat semua pelawat blog terpencil ini. Moga segala kesalahan dan kesilapan dapat dimaafkan. Terimalah lagu Raya ini dari saya. Ceria-ceria selalu!
.

Sabtu, 3 Ogos 2013

Aku bukan nak jadi hero..


Bukannya aku mahu berbalah atau menjadi hero golongan Melayu yang telah ******.

Apa yang aku tulis di sini hanya cebisan fikiran aku yang amat mikro berbanding alam semesta. Bukan tujuan aku menikam keyakinanmu yang seliat kulit buaya, merobek mimpi asyikmu bersama bidadari syurga, atau meperlekehkan ajaran yang berusia lebih 1400 tahun yang lalu.

Aku cuma ingin menyalakan sedikit unggun pemikiran bangsa aku yang telah lama tertutup dan terbius dengan dogma agama .

Aku nyalakan bukan dengan api perbalahan. 

Aku nyalakan ia dengan api keraguan dan perasaan ingin tahu

Dua jenis api inilah yang telah menjadikan manusia hidupan paling cemerlang di dunia, mampu mencipta bangunan setinggi langit, mampu mencipta roket, mampu mencinta tamadun, mampu mencipta moral dan undang-undang sendiri berbanding spesis-spesis yang lain.

Pesanku, 
Nyalakan api keraguan hingga nampak kebenaran itu sebenarnya mempunyai banyak pintu.
Nyalakan api perasaan ingin tahu sehingga merdeka dari fatamorgana mimpi-mimpi yang palsu.

Khamis, 1 Ogos 2013

Buat Sahabat yang Beragama.

 

Agama tidak sepatutnya dipaksakan kepada sesiapa pun di muka bumi ini.
Hanya kerana anda yakin dan percaya dengan agama, itu tidak bermaksud semua orang seperti anda.
Dan hanya kerana anda yakin dan percaya pada agama, itu tidak bermaksud keyakinan anda itu kebal dari kritikan, perdebatan, dan keraguan.
Kita adalah manusia, ada keyakinan masing-masing. Sepatutnya kita semua adalah sama tiada perbezaan kecuali moral dan budi pekerti.

Rabu, 31 Julai 2013

Hujan Batu Yang Berdarah.

Amat menghairankan umat Islam di Malaysia. Mereka boleh hidup dengan tenang bersama bangsa dan agama lain. Namun bila ada anak Melayu yang ingin keluar dari Islam, mereka melatah, memaki hamun, mengutuk, mengancam dengan hukuman bunuh dengan kemarahan yang membara-bara.

Sedangkan anak Melayu itu bukanlah seorang penjenayah atau seorang yang jahat. Dia hanya mahu kebebasan fikiran dan kemerdekaan dari identiti agama yang terpaksa dipakainya sejak lahir.

Bukankah Islam itu tiada paksaan? Bukankah Islam itu mengatakan 'untukmu agamamu dan untukku agamaku'? Semua itu dusta? Mainan perkataan para ulama? Atau sebenarnya Islam memang agama yang ganas dan tiada tolak ansur?

Adakah darah aku dan darah sahabat-sahabatku ini tiada nilai? Salahkah kami hanya kerana berbeda pendapat? Salahkah kami hanya kerana tidak bersefahaman dengan umat Islam? Hanya perbezaan idealogi kami ditindas, dinafikan hak, dibenci, dimaki, diancam, dan ada yang dipukul sampai mati? Maka apa bezanya kamu dengan golongan kafir Quraisy yang tidak berperi kemanusiaan menyeksa Bilal bin Rabah yang dinafikan hak asasinya untuk memilih kepercayaan sendiri?

Hentikanlah diskriminasi ini. Fikirlah dengan akal dan hati yang terbuka. Kamu sering melaungkan supaya masyarakat barat menghentikan diskriminasi, tekanan dan tindasan terhadap orang Islam. Begitu juga kami tidak mahu ditekan dan ditindas di negara sendiri.

Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, negara luar sibuk berperang, negara kita bergaduh sesama sendiri.