Tahun ke-3 bermula untuk
batch kami. Pelajar dari kuliah IRK (Islamic Revealed Knowledge) diwajibkan mengambil beberapa subjek luar dari kuliah tersebut. Aku memilih beberapa kelas dalam psikologi kerana aku mempunyai minat dalam bidang itu. Aku juga mengambil kelas
Intro. to Philosophy, iaitu satu-satunya kelas falsafah di UIA.
Suasana di kuliah Human Science (Psikologi) memang berbeza dengan kuliah IRK. Kelihatan pergaulan lelaki dan wanita agak longgar sedikit. Walaupun dipisahkan antara tempat duduk lelaki dan wanita, tetapi pelajar lelaki dan wanita boleh bergabung dalam satu kumpulan untuk menyiapkan sesuatu tugasan atau
assignment. Aku rimas dengan suasana sebegitu. Aku ingin membantah tetapi aku tahu bantahan aku hanya akan memburukkan keadaan seperti mana yang aku alami pada tahun sebelumnya.
|
Gambaran Sekolah Pemikir di Athens |
Kelas pertama subjek falsafah dijadualkan pada waktu petang hari Isnin. Sebelum pergi ke kelas aku berjumpa dengan beberapa sahabat berborak tentang pelajaran. Akibatnya aku hadir lewat 15 minit. Semua mata tertumpu padaku. Pensyarah Melayu bergelar Dr. Pandak itu memanggil aku masuk dan disuruhnya aku berdiri di hadapan kelas. Dengan perasaan malu, sesal dan kaget aku mematuhinya.
"Nama siapa ya?" tanya beliau dalam bahasa Inggeris (bahasa pengantar kedua UIA. Bahasa pertama adalah
Arabic).
"Nama saya Wan Izzuddin"
"
Toyyib, baiklah Wan, kami sedang berbincang mengenai falsafah moral. Maka saya mahu memberi kamu satu situasi. Kamu sedang memandu laju dan di dalam kereta kamu ada 3 orang ahli keluarga. Tiba-tiba muncul ditengah jalan 10 orang kanak-kanak melintas. Pada masa itu kamu hanya ada
2 PILIHAN sahaja!
- Kamu elak kanak-kanak tersebut. 10 kanak-kanak itu terselamat tetapi kamu dan keluarga kamu terbabas masuk gaung dan mati semuanya. Atau
- Kamu langgar 10 kanak-kanak tersebut dan mereka semua mati. Tetapi kamu dan 3 ahli keluarga kamu dapat teruskan kehidupan.
Option yang mana satu anda akan pilih?" soal Dr. Pandak secara tiba-tiba.
Dengan serius aku berfikir, segala hukum hakam agama aku cuba himpunkan namun ianya bertembung antara satu sama lain. Kedua-dua pilihan tersebut mempunyai nas-nas yang menyokong.
Setelah berfikir lama, aku menjawab:
"Saya akan pilih option yang pertama. 10 kanak-kanak selamat, tetapi 4 orang maut. Itu lebih baik dari 4 orang selamat tetapi 10 orang maut."
"Baik.. Tapi bagaimana jikalau saya katakan salah seorang ahli keluarga yang menumpang kamu itu adalah ibu kamu? Adakah kamu masih memilih
option yang pertama?" soal pensyarah muda itu sambil tersenyum sinis.
Soalan itu bagaikan satu tamparan hebat pada aku. Otak aku gagal mencari jawapan, ilmu aku bagaikan terpinga-pinga, persis orang sesat di dalam hutan, dan mulutku yang selama ini kuat berhujah tertutup rapat bagaikan dijahit.
Apabila melihat aku lama terdiam, Dr. Pandak mempersilakan aku duduk bersama pelajar-pelajar lain.
"Persoalan falsafah dan moral bukan sesuatu yang mudah. Setiap bangsa, budaya dan agama cuba menjawab persoalan ini. Bagaimana kita nak menetapkan sesuatu perbuatan itu bermoral atau tidak?" beliau melemparkan soalan.
Seorang pelajar dari Turki menjawab : "Kita ikut suara majoriti. Suara majoriti menjadi aras penentu moraliti."
"Jika majoriti dunia mengatakan agama Kristian adalah agama sebenar, maka betul agama Kristian menjadi agama sebenar? tanya pensyarah itu semula.
"Jika begitu Al-Quran dan Sunnah adalah aras penentu!" jawab seorang pelajar wanita yang berpurdah hitam.
"Betul tu. Namun al-Quran dan sunnah terbuka kepada pelbagai tafsiran. Setiap orang mungkin menafsir al-Quran dan sunnah mengikut cara mereka tersendiri." jawab beliau sambil menjeling kepada aku.
Kelas itu berlangsung selama setengah jam dan Dr. Pandak menutup kelas pertama itu lebih awal dari sepatutnya. Kemudian baruku tahu bahawa Dr. Pandak tidak suka mengajar terlalu lama kerana dia beranggapan pelajar akan hilang fokus jika belajar terlalu lama. Ada juga desas-desus yang mengatakan Dr. Pandak sebenarnya tidak puas hati dengan pihak pentadbiran yang menganak-tirikan kelas falsafah seolah-olah kelas itu hanya sekadar persinggahan pelajar untuk melengkapi CGPA mereka. Entahlah.
Selepas solat magrib, aku duduk di hadapan meja study. Buku-buku falsafah yang baru sahaja aku pinjam dari perpustakaan dibelek satu persatu. Aku cuba memahami konsep-konsep dalam falsafah hingga berkerut-kerut dahi. Tanpa aku sedar jam menginjak 2 pagi. Aku mula menghormati kebijaksanaan cendekiawan yunani yang kembang mekar 300 tahun sebelum kelahiran nabi isa. Walaupun mereka saling bercanggah pendapat, tetapi suasana ilmu & pemikiran pada zaman itu amat pesat bagaikan satu perlumbaan.
Namun cepat-cepat aku beristighfar kerana aku sedar aku secara tidak langsung telah mengagung-agungkan orang kafir. Aku menolak buku-buku falsafah ke tepi meja. Malam itu aku bersolat Isyak pukul 3 pagi ditemani bunyi unggas dari kawasan hutan Sungai Pusu (betul-betul di sebelah hostel aku).
Beberapa minggu berlalu. Sudah sampai masanya kami membuat tugasan berkumpulan. Dr. Pandak menyuruh kami membuat kumpulan 2 orang. Aku melihat pelajar-pelajar lain sibuk memilih rakan-rakan masing-masing. Aku memandang kiri dan kanan mencari pelajar yang masih belum mendapat pasangan. Dari sudut belakang bilik kuliah, aku melihat seorang sister (gelaran bagi pelajar muslimah. Juga dipanggil ukhti iaitu versi arabic'nya) memandang tepat kepadaku seolah-olah meminta persetujuan untuk menjadi partner assignment. Hanya renungannya sahaja yang aku mampu tafsirkan kerana wajahnya terhijab disebalik niqab/purdah hitam
Pelajar-pelajar lain telah mendapat rakan tugasan masing-masing. Dr. Pandak menyenaraikan 5 tajuk dan menyuruh kami setiap kumpulan memilih salah satu tajuk untuk dijadikan assignment bertulis.
Seperti biasa, kelas berakhir awal. Pelajar-pelajar berpusu-pusu keluar dari kelas. Hanya ada beberapa pelajar yang tinggal. Ada yang sedang berborak dan ada yang sedang mengulang-kaji pelajaran.
Aku menoleh kebelakang dan
sister tadi masih lagi ada di situ. Betul ke sangkaan aku atau hanya mainan minda? Kotak fikiran aku tertanya-tanya perlukah aku pergi berjumpa dengannya atau pulang sahaja ke
hostel. Lagipun amat jarang seorang pelajar wanita memilih pelajar lelaki menjadi
partner assignment jika tidak kenal. Malah Dr. Pandak ada menyatakan jika sesiapa tiada pasangan, boleh buat
solo assigment (buat sorang-sorang la maksudnya).
|
Sekadar Hiasan. |
Aku berdiri mengemas meja dan bersedia untuk pulang. Tiba-tiba terdengar suara halus memanggil dari belakang. Rupanya
sister tadi memanggil aku.
"Wan! Tunggu sekejap!"
Aku duduk kembali sambil memandang sister yang memanggil aku. Dari matanya yang bewarna kehijauan menunjukkan dia seorang
foreigner. Namun dari tutur bahasanya menunjukkan dia seorang Melayu jati. Jarang aku berjumpa pelajar wanita Melayu memakai
niqab hingga yang kelihatan hanya sepasang mata sahaja.
"Ya sister? Boleh saya bantu?" tanyaku tersekat-sekat. Biasalah, amat jarang bercakap dengan wanita ajnabi.
"Wan, boleh tak kita jadi partner dalam assignment ni?"
"Er.. tiada masalah. Awak kenal saya ke?"
"Mestilah kenal! Sudah beberapa kali kita duduk dalam satu kelas yang sama! Takkan awak tak perasan saya?" soal
sister tersebut.
Mustahil untuk kenal lantaran burkanya hanya menunjukkan 2 biji mata sahaja. Namun aku diamkan kerana itu umpama mengutuk agama sendiri.
"Maaf
sis, saya tak perasan langsung." ujarku mengaku silap.
"Tidak mengapa. Nama saya
Sarah, Sarah Ali Foroohar! Call me 'Sarah'!"
"Awak Melayu?"
"Campuran Iran dan Melayu. Ayah saya dari Iran dan mak saya Melayu" jawabnya. Ini telah menjelaskan persoalan warna matanya dan juga kefasihannya dalam bahasa Melayu.
Sarah menanggalkan kain niqab yang menutup wajahnya. Terserlah seraut wajah yang amat cerah dan cantik dengan senyuman paling manis yang tidak dapat aku lupakan sehingga sekarang. Melihat aku tergamam, dia segera menutup wajahnya semula.
Kami kemudian bertukar-tukar nombor telefon dan bersetuju untuk berjumpa semula bagi membincangkan topik tugasan yang dipilih. Kami kemudian berjalan menghala ke hostel masing-masing yang terletak arah bertentangan. Ingin sekali aku mengajaknya minum petang di cafe kuliah. Aku mahu mengenali latar belakang gadis bermata hijau itu. Tetapi perasan malu yang menebal membuatkan aku membatalkan hasrat tersebut..
Setelah beberapa langkah berjalan aku menoleh kebelakang. Rupanya Sarah juga menoleh ke arahku. Aku segera berpusing semula kehadapan dan teruskan berjalan.
"Apa yang aku fikirkan ni!" gerutu hatiku sendirian sambil mempercepatkan langkah. Tanpa aku sedari, perkenalan ringkas hari itu adalah suatu permulaan persahabatan yang unik dan
complicated. Malah ia juga punca konflik dalam kehidupanku sebagai seorang pelajar UIA...
Akan bersambung ke Part 6..
.