Isnin, 19 Ogos 2013

Kepincangan Umat Islam Seluruh Dunia.

Ada seorang kawan yang juga atheist bertanya kepada saya kenapa tidak menulis mengenai kekejaman di Mesir? Saya tersenyum sinis. Saya akan menjawab secara umum tanpa memihak kepada mana-mana parti...

Banyak pertumpahan darah berlaku di negara mojoriti Muslim. Bukan sahaja di Mesir, malah di seluruh dunia seperti di Palestin, Syria, Iraq, Iran, Libya, Afganistan, Burma dan lain-lain. Yang menjadi mangsa adalah orang awam, wanita, orang tidak berupaya, dan juga kanak-kanak. Darah yang membasahi jalan raya umpama lopak-lopak air, debu bangunan yang runtuh umpama kabus, dan tangisan anak-anak umpama ungas sahut-sahutan. Bagaikan perkara biasa pula.

Kenapa? Kerana ia berlaku hampir setiap hari sehingga dunia mula lali, bosan dan feedup dengan berita sedemikian. Seringkali perbalahan di Middle East adalah diantara umat Islam dengan umat Islam yang lain. Mereka sama-sama menyembah Allah dan mendaulatkan Muhammad sebagai rasul mereka. Namun perbalahan tetap berlaku.

Bagi saya, perbalahan umat Islam adalah hasil dari benih-benih kebencian yang ditanam oleh mereka sendiri kepada anak cucu mereka. Sejak kecil mereka diajar untuk membenci dan memandang rendah kepada kelompok lain seperti kaum Yahudi, Kristian, Amerika, dan lain-lain. Seumpama seluruh dunia berkonspirasi untuk memusuhi Islam. Konsep yang dipanggil "us against them". 


Hinggakan jika orang bukan Islam memberi salam kepada mereka (walau dengan niat yang baik), mereka diajar untuk menjawab "waalaikumussam" yang bermaksud "celakalah keatas kamu".

Kebencian itu kemudiannya dipandang sebagai suatu ketaatan. Jika tiada kebencian terhadap golongan kafir, maka kamu adalah insan yang berdosa.

Kebencian ini kemudiannya berjangkit menjadi kebencian terhadap golongan  yang mempunyai fahaman yang berbeza walaupun sama-sama Muslim. Di situlah timbul perbalahan Sunni dan Syiah, Hamas dan Fattah, Wahabi dan Sunni dan lain-lain.

Kebencian yang menjadi racun minda telah mereputkan setiap ruang moraliti insan hinggakan saudara seagama sendiri pun sanggup dibunuh, ditembak dan dibom tanpa fikir panjang.  Maka hingga kini epik saga kesedihan mereka berkumandang seluruh dunia dan memenuhi dada akhbar dari tahun ke tahun.

Yang peliknya, kaum Islam fundamentalist ini lebih suka menunding jari kepada Yahudi dan Amerika atas setiap tragedi yang berlaku. Mereka yakin semua konflik di dunia Islam datangnya dari perancangan sulit Amerika dan sekutunya Israel (teori konspirasi). Sedangkan jika Amerika menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan, merekalah yang paling awal menunggu di saf paling hadapan.

PS:
 
Konflik dalaman dunia Islam tidak pernah berhenti sejak wafatnya nabi sehingga sekarang. Perperangan demi peperangan silih berganti bagaikan pertukaran siang dan malam. Mungkin sudah sampai masanya kaum Islam berhenti sejenak dan melihat serta mengakui kelemahan diri sendiri. Berhenti dari menyuap anak-anak mereka dengan kebencian. Berhenti dari memandang diri mereka lebih mulia dari kaum-kaum yang lain. Berhenti dari mengikuti dogma agama yang sering dimanipulasikan oleh kaum pelampau. Pandang pada realiti dan sedarlah sudah masanya untuk kamu berubah.
PSS: 
Saban hari doa dipohon oleh seluruh umat Islam dari seluruh dunia memohon kemenangan buat umat Islam. Namun satu pun tidak di makbulkan? Mungkin mereka perlu fikir semula kepada siapa agaknya doa itu dipohon?!. Umpama surat diposkan ke alamat yang tidak berpenghuni. Walau berjuta kali pun dihantar tetap tidak akan ada jawapan.

.

4 ulasan:

  1. Agreed.Keep up the good wokr!

    BalasPadam
  2. Saya kagum dengan tulisan kamu. Moga Muslims yang membaca dapat kesedaran.

    BalasPadam
  3. post yg terbaik setakat ni

    BalasPadam